Pusat Kebolehcapaian

Menghubungkan kreativiti, kebolehcapaian dan inspirasi untuk semua.

Pelan Spotify

Spotify, melalui perundingan dengan Fable dan orang kurang upaya, telah mengenal pasti halangan di bawah setiap tajuk berikut serta telah menggariskan strategi dan mekanisme yang dirancang untuk menghapuskan dan mencegah halangan di bawah.

Pekerjaan

Kami sedang membina Spotify yang mencerminkan kepelbagaian suara di platform kami dan komuniti tempat kami bekerja dan bermain. Kami komited untuk mempromosikan keadilan, menghapuskan halangan dan memupuk budaya yang membolehkan setiap ahli kumpulan berkembang dan berjaya. Usaha untuk mewujudkan tempat kerja yang boleh dicapai adalah penting untuk memperkasakan warga kita serta memacu pertumbuhan Spotify dengan cara yang memanfaatkan semua pihak. Apabila peluang dapat dicapai oleh semua orang, kita semua mendapat manfaat.

Kemajuan semasa kami

Komitmen kami untuk membina Spotify bagi semua orang dinyatakan dengan jelas, tetapi kami tahu masih ada usaha yang perlu dilakukan untuk menambah baik proses pengambilan pekerja, proses penyesuaian dan pemahaman pekerja kurang upaya kami. Kami tahu bahawa salah faham tentang kekurangan upaya itu wujud dan kami ingin mengurangkan stigma serta menyokong pengurus warga kami untuk menerajui usaha tersebut. Kami berbangga dengan falsafah penyesuaian tempat kerja global kami dan akan terus memastikan bahawa semua ahli kumpulan diberikan alat yang diperlukan untuk melakukan kerja terbaik masing-masing. Akhir sekali, kami komited untuk memastikan calon dalam proses pengambilan pekerja kami (secara luaran dan dalaman) diberikan lebih banyak peluang untuk meminta sokongan.

Pelan tindakan

  • Mengambil bahagian dalam Indeks Kesaksamaan Orang Kurang Upaya untuk mendapatkan penanda aras tentang usaha kami.
  • Mengenal pasti penaja eksekutif untuk Kumpulan Kekitaan Kekurangan Upaya & Neurodiversiti kami.
  • Meningkatkan kebolehcapaian proses pengambilan pekerja kami, termasuk laman web perekrutan luaran kami, Life at Spotify, serta platform mobiliti dalaman kami.
  • Terus membangunkan sumber, program, alat dan sokongan untuk pekerja dan pengurus kurang upaya serta neurodiversiti.
  • Bekerjasama dengan pasukan pengalaman komuniti kami untuk memastikan semua acara penglibatan dalaman pekerja boleh dicapai—menjejaki permintaan untuk kebolehcapaian di acara untuk membantu dalam perancangan masa hadapan.
  • Mengaudit sistem dan aplikasi HR dalaman serta memajukan usaha memastikan kebolehcapaian untuk semua pekerja.
  • Menyemak proses penyesuaian untuk mengenal pasti bahagian yang memerlukan penambahbaikan.

Persekitaran binaan

Di Spotify, pekerja boleh memilih untuk bekerja di tempat mereka dapat melakukan kerja yang terbaik—sama ada di rumah, di pejabat atau kadangkala, di tempat lain sama sekali. Apabila mereka memilih untuk bekerja dari pejabat kami, kami berusaha keras menyediakan ruang yang boleh dicapai untuk semua orang. Kami faham kepentingan kebolehcapaian ruang kerja—jika lampu tidak dapat diselaraskan secara berasingan untuk ruang kerja seseorang atau tiada dasar bebas bau, hal ini boleh menyebabkan rasa sakit, kesukaran bernafas atau kelebihan beban deria, yang menyebabkan orang sukar atau tidak dapat fokus pada tugas kerja.

Pendapat yang kami terima"Bekerjasama dengan pekerja semasa suai tugas dan secara berkala untuk menentukan perkara yang diperlukan untuk menjadikan pejabat persekitaran yang mesra dan boleh dicapai oleh mereka. Perkara yang sama juga terpakai untuk pelawat dari segi menyediakan peluang untuk mendapatkan maklum balas tentang pengalaman mereka dengan ruang pejabat dan cadangan menjadikan persekitaran lebih mesra/boleh dicapai."
- Responden tinjauan Fable

Kemajuan semasa kami

Prinsip reka bentuk pejabat kami, yang menentukan reka bentuk dan susun atur pejabat global Spotify, merangkumi komitmen terhadap kebolehcapaian. Kami juga mematuhi peraturan pasaran untuk memastikan kami memenuhi standard kebolehcapaian semasa. Kami menawarkan perundingan ergonomik berkala untuk semua pekerja serta penyesuaian yang munasabah, seperti stesen kerja dengan ketinggian boleh laras atau aksesori ergonomik lain, mengikut keperluan.

Matlamat sepanjang masa kami adalah untuk memastikan ruang kami memenuhi takrifan "boleh dicapai" yang kukuh dan mereka bentuk ruang kami dengan cara yang menghapuskan mana-mana halangan semasa, termasuk di laluan pejalan kaki dan tempat menunggu. Namun, orang kadangkala menghadapi halangan apabila mereka melawati pejabat Spotify, seperti pintu tanpa penderia pembukaan automatik. Walaupun kami mempunyai garis panduan kebolehcapaian yang jelas pada hari ini, pelaksanaan garis panduan tersebut masih tidak konsisten di semua ruang kami.

Pelan tindakan

  • Berkomunikasi dengan pekerja tentang kepelbagaian ruang dan penyesuaian yang tersedia untuk mereka, seperti Kawasan Fokus dan Pod Pembentangan.
  • Mengemas kini garis panduan kebolehcapaian kami dan menerima guna garis panduan tersebut untuk semua projek baharu.
  • Mengaudit garis panduan kami untuk menangani jurang dan membetulkan jurang dalam kemas kini.
  • Menyediakan latihan kebolehcapaian untuk pasukan Perkhidmatan Tempat Kerja Global kami.

Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)

Fokus bahagian ini ialah orang dan teknologi yang kami gunakan untuk menyediakan sokongan. Kami mahu menjadikan pengalaman mendapatkan sokongan daripada Spotify sama intuitif dan mudah dicapai seperti produk kami. Kami menggalakkan agar orang mengenal pasti apa-apa keperluan kebolehcapaian yang belum dipenuhi pada platform kami serta berkomunikasi dengan kami melalui proses maklum balas kami. Untuk laporan ini, kami telah menyemak semua maklum balas yang sedia ada dan telah cuba menyelesaikan isu yang dikemukakan kepada kami.

Pendapat yang kami terima"Mendengar halangan atau isu yang saya hadapi dengan sabar dan jika orang itu mempunyai pengetahuan berkenaan, eloklah. Jadi, pengetahuan tentang isu khusus itu akan membantu. Jika tidak, mempunyai pengetahuan tentang tempat untuk memajukan isu saya."
- Responden tinjauan Fable
Pendapat yang kami terima"[Saya ingin tahu] Cara untuk berhubung dengan seseorang atau orang yang berpengetahuan; yang benar-benar akan melakukan tindakan berkenaan item ini."
- Responden tinjauan Fable

Kemajuan semasa kami

Bagi Penasihat Khidmat Pelanggan ("CS") di Spotify, latihan kebolehcapaian diperlukan. Kami menawarkan saluran khusus untuk maklum balas kebolehcapaian dan berbesar hati untuk bekerjasama dengan Be My Eyes (BME) bagi menghubungkan orang rabun dan penglihatan lemah dengan pasukan kami untuk mendapatkan bantuan. Kami juga bekerjasama dengan pasukan Kebolehcapaian dalaman Spotify untuk mengaudit kandungan bertulis kami dari segi kejelasan, perbendaharaan kata dan pemformatan. Walau bagaimanapun, sesetengah perisian yang kami gunakan untuk menyediakan sokongan pelanggan masih ditingkatkan dari segi kebolehcapaian, terutamanya apabila perisian tidak dibina menggunakan sistem reka bentuk Spotify, yang secara umumnya menjamin ciri kebolehcapaian seperti pengubahan saiz teks dan kontras warna yang sesuai. Latihan kami juga boleh ditambah baik dan dilanjutkan kepada semua pasukan dalam ekosistem sokongan kami.

Pelan tindakan

Sepanjang tiga tahun akan datang, kami berhasrat untuk mewujudkan budaya kebolehcapaian dalam pasukan Khidmat Pelanggan.

  • Membina pasukan dalam pasukan kami dengan pengetahuan, kemahiran dan alat khusus untuk menyokong orang kurang upaya.
  • Membimbing semua pasukan untuk menyediakan sokongan bertaraf tinggi kepada pengguna kurang upaya.
  • Menyelesaikan isu sedia ada dan meningkatkan platform Khidmat Pelanggan, antara muka layan diri serta pengalaman bot kami untuk meningkatkan kebolehcapaian.
  • Mewujudkan proses untuk menyemak dan menambah baik alat khidmat pelanggan yang bertumpu pada pihak luaran.
  • Menyelesaikan isu sedia ada dan meningkatkan kebolehcapaian alat pengendali dalaman kami.
  • Mewujudkan proses untuk menyemak dan menambah baik alat pengendali dalaman yang bertumpu pada pihak luaran secara berterusan.
  • Membina rangka kerja pengurusan prestasi kami untuk meliputi interaksi berkaitan kebolehcapaian secara lebih menyeluruh.
  • Menyelenggara dan menyemak falsafah pengarang kami supaya mencerminkan standard penulisan yang boleh dicapai (sebagaimana yang ditakrifkan oleh sistem reka bentuk Spotify) dan menerbitkan kandungan yang memenuhi pelbagai keperluan dan gaya pembelajaran pelanggan.
  • Melakukan pemantauan dan bertambah baik secara berterusan berdasarkan maklum balas pelanggan dan pengauditan berkala.

Komunikasi, selain ICT

Ini termasuk komunikasi dalaman dan luaran daripada Spotify, yang diketuai oleh pasukan termasuk jenama, komunikasi dan perkongsian. Pekerja kami menerima komunikasi daripada kami melalui saluran bertulis dan langsung dalaman, manakala orang di luar syarikat mungkin melihat kandungan tentang kami di ruang pemasaran Di Luar Rumah (OOH) atau pada suapan media sosial mereka.

Kemajuan semasa kami

Kami berusaha untuk menyediakan kandungan boleh dicapai merentasi semua komunikasi kami dan komited terhadap penilaian dan penambahbaikan standard yang berterusan. Pelan ini ialah dorongan ke arah peningkatan kematangan dalam amalan kami bagi output.

Pelan tindakan

  • Mengguna pakai dan menyeragamkan format dan komunikasi yang boleh dicapai merentasi pengalaman dalam talian seperti saluran bilik berita atau media sosial kami.
  • Menyediakan struktur bagi amalan terbaik untuk imej, aset dan pembentangan dalaman dan luaran.
  • Membina sistem untuk pekerja berkongsi maklum balas secara dalaman tentang aset.
  • Mengaudit aset dan sumber pemasaran untuk mengenal pasti apa-apa peningkatan atau sumber berguna yang berpotensi yang boleh kami buat atau tambahkan.
  • Bekerja dengan rantau untuk memastikan semua saluran media sosial telah mendayakan kapsyen janaan automatik serta ciri kebolehcapaian dalam platform yang lain.
  • Berunding dengan Fable untuk menilai standard sedia ada kami untuk pemasaran pengalaman serta merancang langkah tambahan.
  • Menghantar komunikasi praketibaan kepada jemputan untuk pengalaman bersemuka bagi mencegah kemungkinan ketidakselesaan (cth., "acara ini akan menampilkan persembahan yang merangkumi lampu berkelip").

Pemerolehan barangan, perkhidmatan dan kemudahan

Di Spotify, pemerolehan termasuk perkara seperti perisian dan infrastruktur awan, serta bekalan pejabat, perkhidmatan profesional dan korporat, pemasaran dan banyak lagi. Skop yang besar ini merangkumi proses empat fasa, iaitu pengambilan, penilaian, perundingan dan pemuktamadan. Kami berhasrat untuk menggabungkan kebolehcapaian dalam proses kami.

Pendapat yang kami terima"[Pertimbangkan] sama ada syarikat menyediakan nilai yang tulen kepada Spotify atau tidak. Jangan beli perisian yang tidak perlu semata-mata kerana terdapat kotak semak yang berkata 'kami kini…boleh dicapai!'."
- Responden tinjauan Fable

Kemajuan semasa kami

Sebagai pasukan pemerolehan, kami telah menilai keadaan semasa kami dan mendapati bahawa laman web Spotify for Vendor kami tidak menyatakan pendirian kami terhadap kebolehcapaian. Selain itu, kami tidak menggabungkan kebolehcapaian sebagai elemen pertimbangan semasa pemerolehan dan suai tugas vendor pada masa ini.

Pelan tindakan

  • Mengutamakan kemas kini laman web Spotify for Vendor dengan pernyataan kebolehcapaian kami, yang akan menyokong sosialisasi dalaman dan luaran dasar.
  • Menilai vendor strategik utama dalam kategori perbelanjaan yang berkaitan untuk menilai pertimbangan kebolehcapaian.
  • Membangunkan pelan untuk menggabungkan soalan kebolehcapaian dalam proses permintaan untuk usul (RFP) sedia ada dan proses suai tugas vendor bagi kategori dalam skop.

Reka bentuk dan penyampaian program dan perkhidmatan

Bahagian ini merangkumi cara kami melatih pereka, jurutera dan semua orang yang bertanggungjawab membina produk Spotify, pendekatan kami untuk membina produk yang boleh dicapai dan amalan reka bentuk yang kami gunakan untuk menjadikan produk boleh dicapai seberapa mudah yang mungkin oleh semua jenis pengguna.

Kami telah membahagikan kategori penting ini kepada empat bahagian:

  1. Latihan dan dokumentasi
  2. Pasukan
  3. Audit, penyelidikan dan analisis
  4. Proses

Kategori ini mempunyai pemilikan kongsi antara pasukan latihan, kebolehcapaian dan reka bentuk khusus Spotify.

Pendapat yang kami terima"Semua orang sepatutnya dapat menggunakan reka bentuk itu secara saksama. Semua orang sepatutnya dapat menggunakan alat ini dan dapat menyelesaikan tugas."
- Responden tinjauan Fable

Kemajuan semasa kami

Pasukan latihan, kebolehcapaian, sistem reka bentuk dan kepimpinan berusaha untuk membina produk yang boleh dicapai, tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan. Apabila produk dan alat digital kami tidak diuji oleh orang kurang upaya, produk dan alat digital ini mungkin sukar digunakan, yang menyebabkan pekerja bekerja lebih perlahan atau pelanggan bertukar kepada perkhidmatan lain yang lebih mudah digunakan. Jika pekerja tidak mempunyai latihan yang mencukupi, ini boleh menyebabkan kadar pengekalan dan kenaikan pangkat yang lebih rendah untuk pekerja kurang upaya atau pengalaman khidmat pelanggan yang buruk untuk pelanggan kurang upaya.

Latihan dan dokumentasi
  • Kami menganjurkan kursus kebolehcapaian dan sesi praktikal.
  • Kami menawarkan modul e-Pembelajaran daripada Fable, termasuk: Pengenalan kepada Kebolehcapaian Digital, Pengalaman Pengguna Boleh Dicapai, Menguji Kebolehcapaian, Pembangunan Web Boleh Dicapai, Aplikasi Mudah Alih Boleh Dicapai untuk iOS dan Aplikasi Mudah Alih Boleh Dicapai untuk Android.
  • Kami menjejaki kadar pelengkapan bagi modul pada platform pembelajaran dalam talian kami, Greenhouse.
  • Kami tidak mempunyai papan pemuka dan metrik yang menyeluruh tentang program kebolehcapaian.
  • Terdapat ruang untuk penambahbaikan dari segi kebolehcapaian platform dan produk dalaman Spotify yang digunakan oleh pekerja.
  • Kami mempunyai dokumentasi, aktiviti dan sumber yang meluas tentang kebolehcapaian untuk semua audiens, tetapi sentiasa ada ruang untuk pengaturan, kejelasan dan pemasaran dalaman proaktif yang selanjutnya.
Pasukan
  • Kami memberikan ganjaran kepada pasukan dan individu yang mengutamakan kebolehcapaian.
  • Kami menjalinkan hubungan dengan beberapa vendor kebolehcapaian, termasuk tetapi tidak terhad kepada Fable.
  • Kami mempunyai pasukan Jurutera Kebolehcapaian khusus, Pengurus Kejuruteraan dan Pengurus Program.
  • Pasukan produk tidak mempunyai orang yang bertanggungjawab secara khusus untuk kebolehcapaian.
Audit, penyelidikan dan analisis kebolehcapaian
  • Terdapat proses untuk meminta audit kebolehcapaian serta audit sedia ada.
  • Kami menyediakan semua ujian pengguna dan kajian penyelidikan untuk semua orang di Spotify.
  • Ujian prapelancaran kami mempunyai skop terhad yang tidak merangkumi pengguna teknologi bantuan.
Proses
  • Sistem reka bentuk kami menyampaikan tema warna, skala taip, komponen dan susun atur yang boleh diakses.
  • Garis panduan reka bentuk dan penulisan yang boleh diakses diterbitkan pada laman web sistem reka bentuk kami.
  • Pasukan reka bentuk tidak selalunya mempunyai kepakaran untuk mengutamakan tahap kebolehcapaian tertinggi dan mengimbangkan pertimbangan reka bentuk yang bertentangan.
  • Pendekatan kami terhadap pembuatan produk boleh diakses mungkin bersifat reaktif, selalunya disebabkan oleh keutamaan yang bertentangan, yang bermakna kami menangani jurang kebolehcapaian selepas pelancaran.

Pelan tindakan

Latihan dan dokumentasi
  • Menyokong agar semua pekerja Penyelidikan dan Pembangunan melengkapkan latihan kebolehcapaian.
  • Mengemaskinikan kursus agar kursus lebih berkenaan dengan bahagian produk tertentu.
  • Menggalakkan orang untuk melengkapkan latihan khusus peranan yang mendalam.
  • Membangunkan kit kebolehcapaian dibuat sendiri untuk pasukan melatih diri mereka.
  • Membangunkan dan menjadualkan pelan komunikasi untuk kursus yang sedia ada bagi meningkatkan kesedaran dalaman.
  • Menyemak hasil program dan mengumpulkan maklum balas untuk mengenal pasti bahagian untuk penambahbaikan. Menyelaraskan program mengikut keperluan untuk lelaran akan datang.
  • Memberi pasukan cerapan metrik utama daripada latihan, termasuk data pendaftaran dan maklum balas serta menambah baik kandungan latihan dan ketersediaan berdasarkan data ini.
Pasukan
  • Mewujudkan rangkaian jaguh kebolehcapaian dalaman kami dan menggalakkan mereka supaya mempengaruhi perniagaan bagi mengekalkan kebolehcapaian sebagai keutamaan di samping keperluan bukan fungsian yang lain.
  • Mengembangkan rangkaian jaguh kebolehcapaian dalaman kami dan terus menyokong kebolehcapaian.
  • Menggabungkan rangkaian jaguh kebolehcapaian dalaman kami yang matang ke dalam rangka kerja pembangunan kerjaya yang lebih formal di Spotify, sebagai contoh, usaha proaktif yang nyata dalam kerja kebolehcapaian sebagai satu prasyarat baharu dalam rangka kerja kerjaya Spotify.
Audit, penyelidikan dan analisis kebolehcapaian
  • Menilai keadaan kebolehcapaian di Spotify secara berterusan melalui audit berkala dengan penglibatan orang kurang upaya serta menjejaki masa respons untuk mengurangkan masa antara penemuan masalah hingga penyelesaian.
  • Menerapkan standard kebolehcapaian dengan penjenamaan produk kreatif.
  • Menggunakan analisis berdasarkan data dan penceritaan untuk menjejaki usaha kebolehcapaian dan menawarkan pengiktirafan rentas organisasi untuk usaha proaktif.
  • Mengaudit laman mikro dan laman web Spotify.
  • Mengembangkan skop audit dan kebolehcapaian kepada produk dalaman.
Proses
  • Untuk peringkat penemuan produk:
    • Memetakan semua perkara penting dalam kitaran hayat reka bentuk, produk dan pembangunan perisian yang boleh mendapat manfaat daripada perkakas, infrastruktur ujian dan automasi yang sesuai.
    • Membina/menyepadukan perkakas, infrastruktur ujian dan automasi yang sesuai dalam bahagian aliran kerja reka bentuk, produk dan pembangunan perisian kami yang berkaitan.
  • Peringkat lelaran dan penyelenggaraan:
    • Melabur dalam perkakas, infrastruktur ujian dan automasi yang sesuai untuk membolehkan kita mengalihkan pemikiran kebolehcapaian ke peringkat lebih awal dalam kitaran hayat pembangunan produk.
    • Memperkenalkan aliran kerja untuk pekerja Spotify membuat sumbangan secara bebas dari segi semakan kandungan kebolehcapaian yang berkaitan.
  • Mendapatkan sokongan untuk menyelesaikan isu yang timbul.
  • Menerapkan standard kebolehcapaian dengan penjenamaan produk kreatif.