Terma Komuniti Sokongan Spotify®
Berkuat kuasa mulai 2018-04-04
Helo! Selamat datang ke Terma dan Garis Panduan Komuniti Sokongan Spotify ("Terma Komuniti").
Terima kasih kerana memilih Komuniti Sokongan Spotify ("Komuniti"). Komuniti ialah tempat untuk perbincangan dan pertukaran maklumat, petua dan bahan lain yang berkaitan dengan Perkhidmatan Spotify.
Dengan menggunakan Komuniti, anda bersetuju dengan Terma Komuniti ini, Terma dan Syarat Penggunaan Spotify dan Dasar Privasi Spotify dan Garis Panduan ("Terma").
Terma ini membentuk perjanjian yang mengikat dari segi undang-undang antara anda dengan Spotify, jadi sila baca dengan teliti. Jika anda tidak bersetuju dengan Terma ini, mohon jangan gunakan Komuniti. Sesetengah istilah seperti "Spotify" dan "Perkhidmatan Spotify" yang digunakan dalam Terma Komuniti ini ditakrifkan dalam Terma dan Syarat Penggunaan Spotify.
1. Akaun Komuniti.
Untuk menggunakan Komuniti, anda mesti (1) telah pun memiliki akaun Spotify; dan (2) mewujudkan "Akaun Komuniti" dengan mengikuti arahan pada halaman pendaftaran Komuniti. Anda mesti memastikan bahawa maklumat pendaftaran anda benar, tepat dan lengkap dan memastikan maklumat tersebut kekal terkini. Spotify boleh menuntut semula atau meminda nama pengguna anda pada bila-bila masa.
Anda dilarang sama sekali menyertakan sebarang maklumat dalam profil anda yang membayangkan bahawa anda ialah pekerja atau penyederhana Spotify, atau sebaliknya menyamar sebagai pekerja atau penyederhana sedemikian semasa menggunakan Komuniti.
2. Tiada sokongan rasmi
Maklumat, nasihat atau sebarang jenis bahan lain yang disiarkan dalam Komuniti ("Kandungan") bukanlah sokongan rasmi yang disediakan oleh Spotify. Bagi sokongan rasmi untuk pertanyaan berkaitan akaun dan berkaitan bayaran, sila serahkan tiket pertanyaan kepada jabatan khidmat pelanggan kami menggunakan borang hubungan. Anda mengakui bahawa pendapat yang diluahkan dalam Kandungan dalam Komuniti adalah daripada penyumbang Kandungan tersebut sahaja dan tidak mewakili pendapat atau dasar Spotify, sekutu atau syarikat kumpulannya.
3. Kandungan, penyederhanaan dan pelaporan.
Anda bertanggungjawab ke atas semua Kandungan yang anda siarkan dalam Komuniti. Spotify tidak mengawal dan menanggung sebarang tanggungjawab atas Kandungan tersebut atau sebarang Kandungan yang disiarkan oleh pengguna lain.
Spotify berhak untuk menyederhanakan aktiviti dalam Komuniti dan boleh mengalih keluar atau mengedit sebarang Kandungan atas sebarang atau tiada sebab sekalipun, termasuk tetapi tidak terhad kepada, Kandungan yang melanggar Terma Komuniti ini berdasarkan pada budi bicara Spotify semata-mata. Spotify boleh mengalih keluar atau mengedit Kandungan sedemikian tanpa pemberitahuan lebih awal kepada pengguna yang bertanggungjawab.
Ingat bahawa penggunaan Komuniti yang bercanggah dengan sebarang Terma boleh mengakibatkan penamatan atau penggantungan akaun anda secara serta-merta (lihat seksyen Terma dan Penamatan di bawah).
Sila bantu Spotify dalam melindungi integriti Komuniti dan memastikan bahawa Komuniti akan kekal bermanfaat, dengan melaporkan sebarang aktiviti atau siaran pengguna dalam Komuniti yang tidak sesuai. Kandungan atau aktiviti yang tidak sesuai boleh dilaporkan dengan mengklik tiga titik di sebelah kanan atas siaran kemudian pilih "Laporkan Kandungan Tak Sesuai".
4. Garis Panduan.
Integriti dan keselamatan Komuniti dan pengguna kami amat bermakna kepada kami. Untuk mematikan Komuniti kekal cekap dan bermanfaat sebaik mungkin, kami meminta anda mematuhi Garis Panduan kami.
5. Program Ganjaran
Komuniti menampilkan sistem ganjaran, yang Spotify atas budi bicaranya semata-mata, boleh memberikan ganjaran kepada pengguna berdasarkan pada sumbangan keseluruhan mereka terhadap Komuniti. Anda mengakui bahawa keputusan Spotify berkaitan sebarang ganjaran adalah muktamad dan mengikat. Spotify boleh mengubah atau mengalih keluar sistem ganjaran atas budi bicaranya dari semasa ke semasa.
6. Lesen terhad
Anda memberi Spotify lesen bukan eksklusif, bebas royalti, berterusan dan sedunia untuk menggunakan, mengeluarkan semula, mengubah suai, membuat tersedia kepada umum, menerbitkan, menterjemah, mewujudkan karya terbitan daripadanya dan mengedarkan sebarang Kandungan atau maklum balas yang anda siarkan atau sebaliknya memberikan melalui Komuniti dan untuk menggunakan semua hak cipta dan hak publisiti yang berkaitan Kandungan atau maklum balas tersebut, tanpa sebarang pengiktirafan kepada anda.
7. Terma dan penamatan
Terma Komuniti ini akan berkuat kuasa dalam hubungan dengan anda apabila anda mewujudkan Akaun Komuniti Spotify dan akan tetap berkuat kuasa sehingga anda menamatkan Akaun Komuniti Spotify anda atau penamatan lebih awal oleh Spotify.
Anda boleh menamatkan Akaun Komuniti Spotify anda pada bila-bila masa dengan menghubungi Sokongan Spotify. Tanpa mengehadkan hak lain untuk menamatkan akses kepada Komuniti, Spotify berhak untuk menamatkan atau menggantung Akaun Komuniti Spotify anda pada bila-bila masa jika, atas budi bicara Spotify semata-mata, anda melanggar sebarang Terma. Jika Spotify menamatkan atau menggantung Akaun Komuniti Spotify anda atas sebarang sebab sekalipun, Spotify atau syarikat lain dalam Kumpulan Spotify tiada liabiliti atau tanggungjawab terhadap anda. Sila ambil perhatian bahawa jika Akaun Komuniti Spotify anda ditamatkan oleh anda atau Spotify atas sebarang sebab, Kandungan yang telah anda siarkan boleh dikekalkan dalam Komuniti dalam bentuk yang dijadikan awanama.
8. Tiada jaminan
Penggunaan Komuniti adalah atas risiko anda sendiri. Komuniti disediakan atas dasar "seadanya" dan "sebagaimana tersedia". Sehingga takat yang dibenarkan oleh undang-undang yang berkenaan, Spotify tidak memberikan sebarang jaminan, sama ada tersirat atau tersurat, terhadap kualiti kandungan dan ketersediaan atau kesesuaian bagi tujuan Komuniti yang khusus. Selain itu, Spotify tidak memberikan jaminan, mengendors, menjamin atau mengambil tanggungjawab ke atas sebarang Kandungan yang disiarkan dalam Komuniti atau sebarang laman web yang dihiperpautkan. Sebagaimana dengan mana-mana maklumat atau nasihat, yang diperoleh daripada mana-mana media atau dalam mana-mana persekitaran, anda hendaklah menggunakan pertimbangan dan berhati-hati seperlunya. Tiada nasihat atau maklumat sama ada secara lisan atau bertulis yang diperoleh oleh anda daripada Spotify atau mana-mana syarikat lain Kumpulan Spotify akan mewujudkan sebarang jaminan bagi pihak Spotify dalam hal ini.
9. Pengehadan liabiliti
Spotify, para pegawai, pengarah syarikat kumpulannya, pengarah, pekerja, pemegang lesen Spotify atau mana-mana pihak ketiga tidak sekali-kali akan dipertanggungjawabkan atas sebarang ganti rugi tak langsung, kecil, khas atau berbangkit (termasuk tetapi tidak terhad kepada sebarang kerugian data, gangguan perkhidmatan, kegagalan sistem komputer atau kerugian wang) yang timbul akibat penggunaan atau kegagalan menggunakan Komuniti, walaupun anda telah memaklumi Spotify tentang kemungkinan kerugian tersebut, termasuk sebarang ganti rugi yang timbul daripadanya. Satu-satunya hak anda yang berkaitan sebarang masalah atau ketidakpuasan hati dengan Komuniti adalah dengan menamatkan akaun anda sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 9 di atas dan untuk berhenti menggunakan Komuniti. Tiada satu pun dalam Terma Komuniti ini yang menghilangkan atau mengehadkan liabiliti Spotify terhadap salah nyataan palsu, kematian atau kecederaan diri akibat kecuaiannya.
10. Ganti rugi
Anda bersetuju membebaskan dan menganggap Spotify, Kumpulan Spotify dan pegawai, pengarah, pekerja dan pemegang lesennya tidak bersalah atas sebarang tuntutan atau permintaan (termasuk tetapi tidak terhad kepada yuran undang-undang yang munasabah) yang dibuat oleh pihak ketiga akibat atau yang timbul daripada atau berkaitan dengan pelanggaran Terma Komuniti atau Garis Panduan ini, atau pelanggaran sebarang undang-undang, peraturan atau hak pihak ketiga oleh diri anda.
11. Harta intelektual
Spotify menghormati hak harta intelektual dan menghendaki anda juga berbuat demikian. Dengan itu, sila ambil perhatian bahawa Komuniti merupakan harta milik Spotify, syarikat kumpulan atau pemegang lesennya dan dilindungi dengan hak harta intelektual (termasuk tetapi tidak terhad kepada hak cipta) dan bahawa anda tidak berhak untuk menggunakan Komuniti dalam sebarang cara yang tidak diliputi oleh Terma Komuniti ini.
12. Pengehadan dan pengubahsuaian teknologi
Spotify akan membuat usaha wajar untuk memastikan Komuniti tetap beroperasi. Walau bagaimanapun, kesukaran teknikal atau penyenggaraan tertentu mungkin, dari semasa ke semasa, mengakibatkan gangguan perkhidmatan sementara. Spotify berhak pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa untuk mengubah suai atau menghentikan, buat sementara atau secara kekal, Komuniti atau sebarang fungsi dan cirinya dengan atau tanpa notis. Jika Spotify mengubah suai atau menghentikan Komuniti atas sebarang sebab yang dinyatakan di atas dalam Seksyen 14, Spotify atau sebarang syarikat lain Kumpulan Spotify tidak akan mempunyai liabiliti atau tanggungjawab terhadap anda.
13. Privasi
Apabila anda mendaftar untuk menggunakan Komuniti, Spotify dan penyedia pengehosannya boleh mengumpulkan, menyimpan, berkongsi dan menggunakan data peribadi anda. Privasi dan keselamatan data pengguna anda adalah - dan akan terus menjadi - keutamaan tertinggi Spotify. Anda boleh membaca lebih lanjut tentang amalan privasi kami dalam Dasar Privasi, yang merangkumi maklumat tentang privasi anda, hak anda dan cara menggunakan hak anda.
14. Lain-lain
Spotify boleh mengubah Garis Panduan ini pada bila-bila masa, atas budi bicaranya semata-mata. Sebarang perubahan penting akan disampaikan kepada anda dan penerimaan anda terhadap dan/atau penggunaan berterusan Komuniti selepas pemberitahuan tentang perubahan akan membentuk penerimaan anda terhadap perubahan tersebut. Mohon jangan gunakan Komuniti jika anda tidak bersetuju dengan Terma baharu tersebut.
Sekiranya Terma dan Garis Panduan Komuniti diterjemahkan kepada bahasa lain dan terdapat percanggahan antara versi kedua-dua bahasa itu, versi bahasa Inggeris akan mengatasi.
Spotify boleh menyerah hak dan kewajipannya dalam hubungan dengan Terma Komuniti ini tanpa sekatan. Anda tidak boleh menyerah hak atau kewajipan anda berkaitan Komuniti atau Akaun Komuniti anda atau mana-mana bahagian daripadanya kepada mana-mana pihak ketiga
Terma Komuniti dan Garis Panduan akan ditadbirkan dan ditafsirkan mengikut undang-undang yang berkenaan dengan anda selaras dengan Terma dan Syarat Penggunaan Spotify. Sebarang pertikaian, kontroversi atau tuntutan yang timbul akibat atau dalam hubungan dengan Terma dan Garis Panduan Komuniti akan dibawa kepada bidang kuasa bukan eksklusif mahkamah atau tribunal lain yang paling hampir dengan kediaman anda dan yang memiliki pengetahuan dan kepakaran yang sesuai dengan pertelingkahan, kontroversi atau tuntutan tersebut.
Hak cipta © 2018 Spotify. Hak cipta terpelihara.