Garis Panduan Pengguna Spotify

Helo! Selamat datang ke Garis Panduan Pengguna Spotify ("Garis Panduan Pengguna")yang digunakan apabila anda menggunakan laman web, aplikasi dan perkhidmatan Spotify yang merujuk kepada Garis Panduan pengguna ini ("Perkhidmatan") termasuk mengakses sebarang jenis bahan atau kandungan yang disediakan melalui Perkhidmatan tersebut ("Kandungan"). Garis Panduan Pengguna ini direka bentuk untuk memastikan Perkhidmatan kekal menyeronokkan bagi semua orang. Selain Garis Panduan Pengguna ini, kandungan mesti mematuhi Peraturan Platform Spotify ("Peraturan Platform").

Kami mungkin mengemas kini Garis Panduan Pengguna dan Peraturan Platform ini dari semasa ke semasa -- anda boleh mendapatkan versi terbaharu di laman web kami.

Pelanggaran Garis Panduan Pengguna atau Peraturan Platform ini mungkin mengakibatkan pengalihan keluar sebarang kandungan atau bahan yang telah anda sumbang kepada Perkhidmatan dan/atau penamatan atau penggantungan akaun anda. Kami cuba menyediakan Perkhidmatan secara meluas kepada semua orang tetapi anda tidak boleh menggunakan Perkhidmatan kami jika kami pernah menamatkan akaun anda pada mana-mana Perkhidmatan kami sebelum ini. Kami juga melarang percubaan untuk memintasi tindakan penguatkuasaan terdahulu, termasuklah melalui penciptaan akaun baharu.

Tindakan yang berikut tidak dibenarkan atas apa-apa jua sebab sekalipun berhubung dengan Perkhidmatan dan bahan atau kandungan yang disediakan melalui Perkhidmatan atau mana-mana bahagian:

  1. menjalankan kejuruteraan balikan, menyahkompil, menyahpasang, mengubah suai atau mencipta karya terbitan, melainkan sekatan sedemikian dilarang dengan jelas oleh undang-undang yang berkenaan. Jika undang-undang yang berkenaan membenarkan anda menyahkompil apa-apa jua bahagian Perkhidmatan atau Kandungan apabila dikehendaki untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk mewujudkan program bebas yang boleh dijalankan dengan Perkhidmatan atau dengan program lain, maklumat yang anda peroleh daripada aktiviti sedemikian (a) hanya boleh digunakan bagi objektif yang disebut tadi, (b) tidak boleh didedahkan atau disampaikan, tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada Spotify terlebih dahulu, kepada mana-mana pihak ketiga yang tidak perlu menerima pendedahan atau penyampaian maklumat itu untuk mencapai objektif tersebut, serta (c) tidak boleh digunakan untuk mencipta perisian atau perkhidmatan yang pada asasnya serupa dengan mana-mana bahagian Perkhidmatan atau Kandungan;
  2. menyalin, mengedarkan semula, mengeluarkan semula, "menyalin", merakam, memindahkan, mempersembahkan, membingkaikan, memautkan kepada atau memaparkan kepada orang awam, menyiarkan atau menyediakan kepada orang awam atau apa-apa jua penggunaan yang tidak dibenarkan dengan jelas mengikut Perjanjian atau undang-undang yang berkenaan, atau yang sebaliknya melanggar hak harta intelektual;
  3. mengimport atau menyalin sebarang fail setempat yang anda tiada hak di sisi undang-undang untuk mengimport atau menyalin fail dengan cara ini;
  4. memindahkan salinan Kandungan yang dicache daripada Peranti yang dibenarkan kepada mana-mana Peranti lain menggunakan apa-apa jua cara;
  5. "merangkak" atau "mengikis", sama ada secara manual atau secara automatik, atau menggunakan sebarang cara automatik (termasuk bot, pengikis dan lelabah) untuk melihat, mengakses atau mengumpulkan maklumat, atau menggunakan mana-mana bahagian Perkhidmatan atau Kandungan untuk melatih pembelajaran mesin atau model AI ataupun memasukkan Kandungan Spotify ke dalam model pembelajaran mesin atau model AI;
  6. menjual, menyewa, mensublesenkan atau menyewakan atau pengewangan lain melainkan seperti yang dibenarkan dengan jelas mengikut Perjanjian;
  7. menjual akaun pengguna atau senarai main, atau sebaliknya menerima atau menawarkan untuk menerima pampasan, kewangan atau sebaliknya, untuk mempengaruhi nama akaun atau senarai main atau kandungan yang disertakan pada akaun atau senarai main; atau
  8. meningkatkan kiraan dengar atau kiraan pengikut secara buatan, menggalakkan Kandungan secara buatan, atau manipulasi lain termasuk dengan (i) menggunakan mana-mana bot, skrip atau proses automatik lain, (ii) menyediakan atau menerima sebarang bentuk pampasan (kewangan atau sebaliknya), atau (iii) sebarang cara lain;
  9. memintasi mana-mana teknologi yang digunakan oleh Spotify, pemegang lesen atau mana-mana pihak ketiga, termasuk mana-mana sekatan akses wilayah atau kandungan lain yang digunakan oleh Spotify atau pemegang lesennya;
  10. memintasi atau menyekat iklan atau mencipta atau mengedar alat yang direka bentuk untuk menyekat iklan;
  11. mengalih keluar atau mengubah sebarang hak cipta, tanda dagangan atau notis harta intelektual yang lain (termasuk bagi tujuan menyamarkan atau menukar penunjuk pemilikan atau sumber);
  12. memadamkan atau mengubah mana-mana bahagian Perkhidmatan atau Kandungan melainkan seperti yang dibenarkan dengan jelas mengikut Perjanjian atau, sekiranya Kandungan disediakan oleh pengguna lain, dengan persetujuan jelas daripada pengguna tersebut; atau
  13. memberikan kata laluan kepada mana-mana orang lain atau menggunakan nama pengguna dan kata laluan orang lain.

Sila hormati Spotify, para pemilik bahan dan kandungan pada Perkhidmatan, serta pengguna lain yang menggunakan Perkhidmatan. Jangan libatkan diri dalam apa-apa jua aktiviti, menyiarkan sebarang Kandungan Pengguna, atau mendaftar atau menggunakan nama pengguna, yang merupakan atau menyertakan bahan yang:

  1. menyalahi undang-undang, atau bertujuan untuk menggalakkan atau menjalankan tindakan haram bagi apa-apa jua jenis, termasuklah pelanggaran hak harta intelektual, hak privasi, hak publisiti, atau hak proprietari Spotify atau pihak ketiga, atau akan melanggar mana-mana perjanjian yang telah anda terima, seperti, sebagai contoh dan bukan pengehadan, perjanjian rakaman eksklusif atau perjanjian penerbitan;
  2. menyertakan kata laluan anda atau dengan sengaja menyertakan kata laluan pengguna lain atau dengan sengaja menyertakan data peribadi pihak ketiga atau bertujuan untuk meminta data peribadi sedemikian;
  3. mendedahkan maklumat sulit atau proprietari pihak ketiga atau maklumat peribadi tentang diri anda yang tidak bertujuan untuk disiarkan kepada orang lain di seluruh dunia;
  4. menyertakan kandungan berniat jahat seperti perisian berniat jahat, kuda Trojan, atau virus, atau mengganggu akses mana-mana pengguna kepada Perkhidmatan Spotify;
  5. menyamar atau menyalahgambarkan hubungan anda dengan Spotify (termasuk, contohnya, dengan menggunakan kandungan berhak cipta Spotify, menggunakan logo Spotify tanpa kebenaran atau menggunakan tanda dagangan Spotify dalam cara yang mengelirukan), pengguna, orang atau entiti lain, atau sebaliknya merupakan penipuan, palsu, menipu atau mengelirukan;
  6. melibatkan penghantaran mel pukal yang tidak diminta atau bentuk spam yang lain, mel sarap, surat berantai atau yang serupa;
  7. aktiviti komersial atau jualan tanpa kebenaran, seperti pengiklanan, promosi, peraduan, cabutan bertuah, perjudian, penyelenggaraan taruhan atau skim piramid;
  8. membuat pautan tanpa kebenaran kepada, merujuk, atau sebaliknya mempromosikan produk atau perkhidmatan komersial, melainkan seperti yang dibenarkan secara jelas oleh Spotify;
  9. mengganggu atau dalam apa-apa jua cara menggendalakan Perkhidmatan Spotify, mengusik, melanggar atau cuba untuk menyiasat, mengimbas atau menguji kelemahan dalam Perkhidmatan Spotify atau sistem komputer Spotify, rangkaian, peraturan penggunaan, atau mana-mana komponen keselamatan Spotify, langkah pengesahan atau mana-mana langkah perlindungan yang berkenaan dengan Perkhidmatan Spotify, Kandungan atau mana-mana bahagian;
  10. bercanggah dengan Terma dan Syarat Penggunaan Spotify atau terma atau dasar lain yang berkenaan dengan penggunaan anda pada mana-mana Perkhidmatan; atau
  11. telah dialih keluar daripada mana-mana perkhidmatan kami disebabkan oleh pelanggaran terma atau dasar kami, seperti lagu, episod atau rancangan yang dilarang. Ini termasuk kandungan yang sedang dicipta atau telah diberikan tujuan semula untuk membentuk semula atau berkhidmat untuk objektif yang sama seperti Kandungan yang telah dialih keluar sebelum ini.