Dari semasa ke semasa, kami akan menjelaskan terma kami agar lebih mudah difahami. Kami akan mengemas kini terma kami pada hari ini (1 September 2021) untuk memastikan bahasa kami adalah jelas tetapi kami tidak akan membuat sebarang perubahan penting terhadap bahan terma tersebut sehubungan dengan kemas kini ini. Kami juga telah mengalihkan Garis Panduan Pengguna ke halaman kendiri yang boleh ditemui di sini.

Terma Penggunaan Spotify

  1. Pengenalan

  2. Perkhidmatan Spotify yang Kami Sediakan.

  3. Penggunaan Perkhidmatan Spotify Anda

  4. Kandungan dan Hak Harta Intelektual

  5. Sokongan Pelanggan, Maklumat, Pertanyaan dan Aduan

  6. Masalah dan Pertikaian

  7. Perihal Terma ini

1. Pengenalan

Sila baca Terma Penggunaan ini ("Terma" ini) dengan teliti kerana terma ini mengawal penggunaan anda (yang merangkumi akses kepada) perkhidmatan diperibadikan Spotify untuk penstriman muzik dan kandungan lain, termasuk semua laman web dan aplikasi perisian kami yang menggabungkan atau memaut kepada Terma ini (secara berkelompok, "Perkhidmatan Spotify") dan sebarang muzik, video, audio siar atau bahan lain yang disediakan melalui Perkhidmatan Spotify ("Kandungan").

Penggunaan Perkhidmatan Spotify mungkin tertakluk pada terma dan syarat tambahan yang dimaklumkan oleh Spotify yang disertakan di sini melalui rujukan ini dalam Terma ini.

Dengan mendaftar atau menggunakan Perkhidmatan Spotify, anda bersetuju dengan Terma ini. Jika anda tidak bersetuju dengan Terma ini, anda tidak boleh menggunakan Perkhidmatan Spotify atau mengakses sebarang Kandungan.

Pembekal Perkhidmatan

Terma ini dilaksanakan antara anda dengan Spotify AB, Regeringsgatan 19, 111 53, Stockholm, Sweden.

Keperluan umur dan kelayakan

Untuk menggunakan Perkhidmatan Spotify dan mengakses sebarang Kandungan, anda perlu (1) berumur 13 tahun (atau umur minimum yang bersamaan di negara anda) atau lebih tua, (2) mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga jika anda di bawah umur di negara tempat tinggal anda; (3) memiliki kuasa untuk mengikat kontrak dengan kami dan tidak dihalang daripada berbuat demikian mengikut sebarang undang-undang yang digunakan dan (4) menetap di negara tempat Perkhidmatan ini tersedia. Anda juga berjanji bahawa pendaftaran maklumat yang anda serahkan kepada Spotify adalah benar, tepat dan lengkap serta anda bersetuju untuk mengekalkannya sedemikian pada setiap masa. Jika anda di bawah umur di negara tempat tinggal anda, ibu bapa atau penjaga anda perlu terikat kepada Terma ini bagi pihak anda. Anda boleh mendapatkan maklumat tambahan berkenaan keperluan umur minimum dalam proses pendaftaran. Jika anda tidak memenuhi keperluan umur minimum, Spotify tidak akan dapat mendaftarkan anda sebagai pengguna.

2. Perkhidmatan Spotify yang Kami Sediakan.

Pilihan Perkhidmatan Spotify

Kami menyediakan pelbagai pilihan Perkhidmatan Spotify. Sesetengah pilihan Perkhidmatan Spotify disediakan secara percuma, manakala pilihan lain memerlukan bayaran sebelum boleh diakses ("Langganan Berbayar"). Kami mungkin juga menawarkan pelan promosi, keahlian atau perkhidmatan khas, termasuk tawaran produk dan perkhidmatan pihak ketiga. Kami tidak bertanggungjawab atas produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak ketiga tersebut.

Perkhidmatan Tanpa Had mungkin tidak tersedia kepada semua pengguna. Kami akan terangkan perkhidmatan yang tersedia untuk anda apabila anda mendaftar diri untuk mendapatkan perkhidmatan. Jika anda membatalkan langganan Perkhidmatan Tanpa Had anda atau jika langganan Perkhidmatan Tanpa Had anda terganggu, (sebagai contoh, jika anda mengubah butiran bayaran anda), anda tidak akan dapat melanggan semula Perkhidmatan Tanpa Had. Ambil perhatian bahawa Perkhidmatan Tanpa Had mungkin akan dihentikan pada masa akan datang, oleh itu anda tidak akan dikenakan bayaran lagi untuk Perkhidmatan ini.

Percubaan

Dari semasa ke semasa, kami atau orang lain bagi pihak kami mungkin menawarkan percubaan Langganan Berbayar bagi tempoh tertentu tanpa bayaran atau pada kadar yang lebih rendah ("Percubaan"). Dengan menggunakan Perkhidmatan Spotify melalui Percubaan, anda bersetuju dengan Terma Tawaran Promosi Spotify Premium.

Aplikasi, Peranti dan Perisian Sumber Terbuka Pihak Ketiga

Perkhidmatan Spotify boleh disepadukan atau berinteraksi dengan aplikasi, laman web dan perkhidmatan pihak ketiga ("Aplikasi Pihak Ketiga") serta komputer peribadi, telefon bimbit, tablet, peranti boleh dipakai, pembesar suara pihak ketiga dan peranti lain ("Peranti"). Penggunaan anda terhadap Aplikasi Pihak Ketiga dan Peranti tersebut mungkin tertakluk pada terma, syarat dan dasar tambahan yang disediakan kepada anda oleh pihak ketiga yang berkenaan. Spotify tidak menjamin Aplikasi dan Peranti Pihak Ketiga tersebut akan serasi dengan Perkhidmatan Spotify.

Pengehadan dan Pengubahsuaian Perkhidmatan

Kami menggunakan hemat dan kemahiran yang munasabah untuk memastikan Perkhidmatan Spotify tetap beroperasi dan memberi anda pengalaman audio yang mengasyikkan dan diperibadikan. Walau bagaimanapun, tawaran perkhidmatan kami dan ketersediaan perkhidmatan kami mungkin berubah dari semasa ke semasa dan tertakluk pada undang-undang yang berkenaan, tanpa liabiliti kepada anda; contohnya:

Jika anda mempunyai yuran prabayar langsung kepada Spotify untuk Langganan Berbayar yang dihentikan oleh Spotify sebelum akhir Tempoh Prabayar anda (seperti terma yang ditakrifkan dalam seksyen Bayaran dan pembatalan di bawah), Spotify akan membayar balik bayaran prabayar anda untuk Tempoh Prabayar untuk mana-mana bahagian yang tidak digunakan bagi Langganan Berbayar semasa anda selepas pemberhentian tersebut. Maklumat akaun dan pengebilan anda mestilah terkini untuk membolehkan kami membayar balik kepada anda.

Spotify tidak bertanggungjawab kepada anda atau berkewajipan untuk memberikan bayaran balik kepada anda, berhubung dengan gangguan Internet atau perkhidmatan lain atau kegagalan yang disebabkan oleh tindakan pihak berkuasa kerajaan, pihak ketiga lain atau kejadian yang bukan dalam kawalan kami.

3. Penggunaan Perkhidmatan Spotify Anda

Mencipta akaun Spotify

Anda mungkin perlu mencipta akaun Spotify untuk menggunakan semua atau sebahagian daripada Perkhidmatan Spotify. Nama pengguna dan kata laluan anda adalah untuk kegunaan peribadi anda sahaja dan hendaklah dirahsiakan. Anda memahami bahawa anda bertanggungjawab atas semua penggunaan (termasuk sebarang penggunaan tanpa kebenaran) nama pengguna dan kata laluan anda. Maklumi pasukan Khidmat Pelanggan kami dengan segera jika nama pengguna atau kata laluan anda hilang atau dicuri atau jika anda yakin bahawa terdapat akses tanpa kebenaran kepada akaun anda.

Spotify boleh menuntut semula atau memerlukan anda untuk menukar nama pengguna anda atas sebarang sebab.

Hak anda untuk menggunakan Perkhidmatan Spotify

Akses kepada Perkhidmatan Spotify

Tertakluk pada pematuhan anda dengan Terma ini (termasuk mana-mana terma dan syarat lain yang berkaitan), kami memberi anda kebenaran yang terhad, tidak eksklusif dan boleh ditarik balik untuk membolehkan penggunaan secara peribadi dan bukan komersial Perkhidmatan Spotify dan Kandungan (secara berkelompok, "Akses"). Akses ini akan tetap berkuat kuasa kecuali dan sehingga anda atau Spotify menamatkan akses. Anda bersetuju bahawa anda tidak akan mengedar semula atau memindahkan Perkhidmatan Spotify atau Kandungan.

Aplikasi perisian Spotify dan Kandungan dilesenkan, bukan dijual atau dipindahkan kepada anda dan Spotify dan pemegang lesen mengekalkan pemilikan semua salinan aplikasi perisian dan Kandungan Spotify walaupun selepas pemasangan pada Peranti anda.

Hak Proprietari Spotify

Perkhidmatan Spotify dan Kandungan adalah harta milik Spotify atau pemegang lesen Spotify. Semua tanda dagangan, tanda perkhidmatan Spotify, nama dagangan, logo, nama domain, serta ciri lain jenama Spotify ("Ciri Jenama Spotify") adalah hak milik mutlak Spotify atau pemegang lesen. Terma ini tidak memberi anda sebarang hak untuk menggunakan Ciri Jenama Spotify sama ada untuk penggunaan komersial atau bukan komersial.

Anda bersetuju untuk mematuhi Garis Panduan Pengguna Spotify dan tidak menggunakan Perkhidmatan Spotify, Kandungan atau mana-mana bahagian daripadanya dengan cara yang tidak dibenarkan dengan jelas oleh Terma ini.

Bayaran dan pembatalan

Pengebilan

Anda boleh membeli Langganan Berbayar secara langsung daripada Spotify atau melalui pihak ketiga sama ada dengan:

● membayar yuran langganan dahulu secara bulanan atau selang masa berulang lain yang dimaklumkan kepada anda sebelum pembelian; atau

● prabayaran memberi anda akses kepada Perkhidmatan Spotify untuk tempoh masa tertentu ("Tempoh Prabayar").

Kadar cukai dikira berdasarkan maklumat yang anda berikan dan kadar yang berkenaan pada masa caj bulanan anda.

Jika anda membeli akses kepada Langganan Berbayar melalui pihak ketiga, terma dan syarat berasingan dengan pihak ketiga tersebut mungkin dikenakan pada penggunaan anda terhadap Perkhidmatan Spotify selain Terma ini. Jika anda membeli Langganan Berbayar menggunakan kod, kad hadiah, tawaran prabayar atau tawaran lain yang disediakan atau yang dijual oleh atau bagi pihak Spotify untuk mengakses Langganan Berbayar ("Kod"), anda dengan ini bersetuju dengan Terma Kad Spotify.

Perubahan harga dan cukai

Spotify boleh mengubah harga Langganan Berbayar, termasuk bayaran langganan berulang, Tempoh Prabayar (untuk tempoh yang belum dibayar) atau Kod (ditakrifkan di atas), dari semasa ke semasa dan akan memaklumkan sebarang perubahan harga kepada anda dahulu dengan memberikan notis yang munasabah. Perubahan harga akan berkuat kuasa pada permulaan tempoh langganan seterusnya, mengikut tarikh perubahan harga. Tertakluk pada undang-undang yang berkenaan, dengan meneruskan penggunaan Perkhidmatan Spotify selepas perubahan harga berkuat kuasa, hal ini bermakna anda bersetuju dengan harga baharu. Jika anda tidak bersetuju dengan perubahan harga, anda boleh menolak perubahan ini dengan menyahlanggan Langganan Berbayar yang berkenaan sebelum perubahan harga berkuat kuasa.

Kadar cukai berdasarkan kadar yang dikenakan pada masa caj bulanan anda. Jumlah ini boleh berubah mengikut masa berdasarkan keperluan cukai tempatan di negara, negeri, wilayah atau bandar anda. Sebarang perubahan dalam kadar Cukai akan dikenakan secara automatik berdasarkan maklumat akaun yang anda berikan

Pembaharuan dan Pembatalan

Dengan pengecualian Langganan Berbayar untuk Tempoh Prabayar, bayaran anda kepada Spotify atau pihak ketiga atas pembelian Langganan Berbayar akan diperbaharui secara automatik pada akhir tempoh langganan yang berkenaan, melainkan anda membatalkan Langganan Berbayar anda sebelum akhir tempoh langganan yang terkini. Hubungi pasukan Sokongan Pelanggan kami di sini untuk mendapatkan arahan tentang cara membuat pembatalan. Pembatalan akan berkuat kuasa sehari selepas hari terakhir tempoh langganan semasa dan anda akan diturun taraf kepada Perkhidmatan Spotify yang percuma. Kami tidak memberikan bayaran balik atau kredit untuk sebarang tempoh langganan separa, kecuali seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam Terma ini.

Jika anda telah membeli Langganan Berbayar menggunakan Kod, langganan anda akan secara automatik ditamatkan pada akhir tempoh yang dinyatakan dalam Kod tersebut atau apabila terdapat baki prabayar yang tidak mencukupi untuk membayar Perkhidmatan Spotify.

Hak menarik balik

Jika anda mendaftar untuk Percubaan, anda bersetuju bahawa hak menarik balik untuk Langganan Berbayar yang anda terima semasa tempoh Percubaan akan berakhir empat belas (14) hari selepas anda memulakan Percubaan. Jika anda tidak membatalkan Langganan Berbayar sebelum Percubaan berakhir, anda akan kehilangan hak anda untuk menarik balik dan membenarkan Spotify untuk mengenakan caj yang telah disetujui secara automatik setiap bulan sehingga anda membatalkan Langganan Berbayar. Untuk sesi percubaan yang kurang daripada empat belas (14) hari, anda dengan jelas bersetuju untuk memberikan kebenaran kepada kami untuk menyediakan perkhidmatan berbayar ini sebaik sahaja tamatnya Percubaan anda dan dari tempoh tersebut, anda kehilangan hak untuk menarik balik.

Jika anda membeli Langganan Berbayar tanpa Percubaan, anda bersetuju bahawa anda mempunyai empat belas (14) hari selepas pembelian anda untuk menarik balik atas sebarang sebab dan mestilah membayar kepada kami atas perkhidmatan yang disediakan sehingga waktu anda memberitahu kami bahawa anda telah mengubah fikiran. . Anda secara jelas membenarkan kami untuk menyediakan perkhidmatan ini kepada anda dengan serta-merta selepas pembelian anda, bahawa anda kehilangan hak anda untuk menarik balik dan mengizinkan Spotify untuk mengenakan caj kepada anda secara automatik setiap bulan sehingga anda membatalkannya.

Garis Panduan Pengguna

Kami telah menetapkan garis panduan untuk menggunakan Perkhidmatan Spotify untuk memastikan Perkhidmatan Spotify dapat dinikmati oleh semua orang ("Garis Panduan Pengguna Spotify"). Dalam menggunakan Perkhidmatan Spotify, anda perlu mematuhi Garis Panduan Pengguna Spotify, serta semua undang-undang, peraturan dan kawal selia yang berkenaan dan menghormati harta intelektual, privasi dan hak lain pihak ketiga.

Akaun Jenama

Jika anda membuat akaun Spotify bagi pihak syarikat, organisasi, entiti atau jenama ("Jenama" dan akaun tersebut "Akaun Jenama"), istilah "anda" yang digunakan dalam seluruh Terma ini (termasuk terma dan syarat Spotify lain yang disertakan melalui rujukan di sini), akan digunakan pada anda dan Jenama tersebut.

Jika anda mencipta Akaun Jenama, anda memberikan gambaran dan menjamin bahawa anda dibenarkan untuk memberikan semua kebenaran dan lesen yang diberikan dalam Terma ini (termasuk sebarang terma dan syarat Spotify lain yang berkenaan) dan untuk mengikat Jenama pada Terma ini.

Suatu Jenama boleh mengikut pengguna serta mewujudkan dan berkongsi senarai main, dengan syarat Jenama tersebut tidak mengambil sebarang tindakan yang memberikan gambaran pengendorsan atau hubungan komersial antara Jenama itu dengan pengguna, artis, penulis lagu atau mana-mana orang lain yang diikuti kecuali Jenama tersebut memperoleh hak tersebut sendiri untuk memberikan gambaran pengendorsan tersebut. Selain itu, Jenama mestilah telus kepada pengguna kami daripada segi mendedahkan pengendorsan atau pertimbangan yang diberikan kepada para artis, penulis lagu, pengguna atau mana-mana pihak lain dan mestilah mematuhi undang-undang, peraturan, serta kod amalan yang berkenaan semasa menjalankan perkara yang tersebut di atas.

Kawalan eksport dan sekatan

Produk Spotify mungkin tertakluk pada undang-undang dan peraturan kawalan eksport dan eksport semula Amerika Syarikat atau undang-undang serupa yang berkenaan dalam bidang kuasa lain, termasuk Peraturan Pentadbiran Eksport ("EAR, Export Administration Regulations") senggaraan Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat, sekatan perdagangan dan ekonomi senggaraan Pejabat Kawalan Aset Luar Negeri Jabatan Perbendaharaan ("OFAC, Treasury Department's Office of Foreign Assets Control"), serta Trafik Antarabangsa dalam Peraturan Senjata ("ITAR, International Traffic in Arms Regulations") senggaraan Jabatan Negara. Anda menjamin bahawa anda (1) tidak berada di mana-mana negara yang dikenakan tindakan embargo barangan oleh Amerika Syarikat atau dikenakan sebarang sekatan ekonomi; dan (2) bukan pihak yang ditolak sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang dan peraturan eksport atau eksport semula yang berkenaan atau undang-undang serupa yang berkenaan dalam bidang kuasa lain atau sebaliknya tersenarai dalam senarai pihak yang dilarang atau disekat oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Anda bersetuju untuk mematuhi semua undang-undang dan peraturan kawalan eksport dan eksport semula yang berkenaan, termasuk tanpa pengehadan EAR, sekatan perdagangan dan ekonomi yang disenggara oleh OFAC. Khususnya, anda bersetuju bahawa anda tidak akan – secara langsung atau tidak langsung – menggunakan, menjual, mengeksport, mengeksport semula, memindahkan, melencongkan, melepaskan atau sebaliknya, melupuskan sebarang produk, perisian atau teknologi (termasuk produk yang didapati daripada atau berasaskan teknologi seumpamanya) yang diterima daripada Spotify mengikut Terma ini ke mana-mana destinasi, entiti atau individu atau untuk penggunaan akhir yang dilarang oleh EAR, sekatan perdagangan dan ekonomi yang disenggara oleh OFAC atau sebarang undang-undang atau peraturan Amerika Syarikat yang berkenaan atau sebarang bidang kuasa lain tanpa mendapatkan apa-apa kebenaran dahulu daripada pihak berkuasa kerajaan yang kompeten sebagaimana seperti yang dikehendaki oleh undang-undang dan peraturan tersebut.

4. Kandungan dan Hak Harta Intelektual

Kandungan pengguna

Kandungan yang anda siarkan pada perkhidmatan

Pengguna Spotify boleh menyiarkan, memuat naik atau sebaliknya, menyumbangkan kandungan kepada Perkhidmatan Spotify ("Kandungan Pengguna"). Untuk mengelakkan keraguan, "Kandungan Pengguna" merangkumi semua maklumat, bahan dan kandungan lain yang ditambah, dicipta, dimuat naik, diserahkan, diedarkan atau disiarkan pada Perkhidmatan Spotify (termasuk pada Komuniti Sokongan Spotify) oleh pengguna.

Anda bertanggungjawab sepenuhnya atas semua Kandungan Pengguna yang anda siarkan.

Anda berjanji bahawa, berhubung dengan mana-mana Kandungan Pengguna yang anda siarkan pada Spotify, (1) anda memiliki atau mempunyai hak untuk menyiarkan Kandungan Pengguna tersebut; (2) Kandungan Pengguna tersebut atau penggunaannya oleh Spotify menurut lesen yang diberikan di bawah, tidak: (i) melanggar Terma ini, undang-undang berkenaan atau harta intelektual atau hak lain bagi mana-mana pihak ketiga; atau (ii) Kandungan Pengguna tersebut tidak menyatakan apa-apa hubungan atau pengendorsan terhadap anda atau Kandungan Pengguna anda oleh Spotify atau mana-mana artis, kumpulan, label atau individu atau entiti lain tanpa kebenaran bertulis yang jelas dahulu daripada Spotify atau individu atau entiti tersebut.

Dalam menyiarkan atau berkongsi Kandungan Pengguna atau maklumat lain pada Perkhidmatan Spotify, sila ingat bahawa kandungan dan maklumat lain tersebut akan dapat diakses oleh pihak umum dan boleh digunakan dan dikongsi semula oleh orang lain pada Perkhidmatan Spotify dan di seluruh web, jadi sila berhati-hati semasa menyiarkan atau berkongsi maklumat tersebut pada Perkhidmatan Spotify dan semak tetapan akaun anda. Spotify tidak bertanggungjawab atas maklumat yang anda atau orang lain siarkan atau kongsi pada Perkhidmatan Spotify.

Memantau kandungan pengguna

Spotify mungkin tetapi tidak bertanggungjawab untuk memantau atau menyemak Kandungan Pengguna. Spotify berhak untuk mengalih keluar atau menyahdayakan akses kepada sebarang Kandungan Pengguna atas sebarang sebab atau tanpa sebab. Spotify boleh mengambil tindakan ini tanpa memberikan pemberitahuan awal kepada anda.

Lesen yang anda berikan kepada kami

Kandungan Pengguna

Anda mengekalkan pemilikan Kandungan Pengguna anda apabila menyiarkannya pada Perkhidmatan. Walau bagaimanapun, untuk memastikan kami dapat menyediakan Kandungan Pengguna anda pada Perkhidmatan Spotify, kami memerlukan lesen terhad untuk Kandungan Pengguna tersebut daripada anda. Oleh itu, anda dengan ini memberikan lesen tidak eksklusif, boleh dipindah milik, boleh diberikan sublesen, bebas royalti, dibayar sepenuhnya, tidak boleh ditarik balik, lesen sedunia kepada Spotify untuk menghasilkan semula, menyediakan, melaksanakan dan memaparkan, menterjemah, mengubah suai, mencipta karya terbitan daripadanya, mengedar dan sebaliknya, menggunakan mana-mana Kandungan Pengguna tersebut melalui sebarang medium, sama ada bersendirian atau bersama dengan Kandungan atau bahan lain, dalam sebarang bentuk dan dengan sebarang cara, kaedah atau teknologi, sama ada diketahui atau akan dicipta selepas ini, berhubung dengan Perkhidmatan Spotify. Sekiranya berkenaan dan dibenarkan mengikut undang-undang yang berkenaan, anda juga bersetuju untuk menepikan dan tidak menguatkuasakan sebarang "hak moral" atau hak setara, seperti hak anda untuk dikenali sebagai pencipta mana-mana Kandungan Pengguna, termasuk Maklum balas, serta hak anda untuk menolak layanan yang merendah-rendahkan Kandungan Pengguna tersebut.

Maklum balas

Jika anda memberikan idea, cadangan atau maklum balas lain berhubung dengan penggunaan anda terhadap Perkhidmatan Spotify atau sebarang Kandungan ("Maklum balas"), Maklum balas tersebut tidak menjadi sulit dan boleh digunakan oleh Spotify tanpa sekatan dan tanpa bayaran kepada anda. Maklum balas dianggap sebagai sejenis Kandungan Pengguna mengikut Terma ini.

Peranti Anda.

Anda juga memberikan hak kepada kami (1) untuk membenarkan Perkhidmatan Spotify menggunakan pemproses, jalur lebar dan perkakasan storan pada Peranti anda untuk memudahkan operasi Perkhidmatan Spotify (2) untuk menyediakan pengiklanan dan maklumat lain kepada anda dan untuk membenarkan rakan kongsi perniagaan kami melakukan perkara yang sama seperti yang dibenarkan mengikut Dasar Privasi Spotify.

Pengalaman kandungan

Dalam mana-mana bahagian Perkhidmatan Spotify, Kandungan yang anda akses, termasuk pilihan dan peletakannya, mungkin dipengaruhi oleh pertimbangan komersial, termasuk perjanjian Spotify dengan pihak ketiga.

Sesetengah Kandungan yang dilesenkan oleh, yang diberikan untuk, dicipta oleh atau sebaliknya, dijadikan tersedia oleh Spotify (contohnya, audio siar) boleh disertakan dengan pengiklanan dan Spotify tidak bertanggungjawab atas sebarang pengiklanan tersebut.

Tuntutan pelanggaran

Spotify menghormati hak pemilik harta intelektual. Jika anda yakin bahawa mana-mana Kandungan melanggar hak cipta anda, sila lihat Dasar Hak Cipta Spotify.

5. Sokongan Pelanggan, Maklumat, Pertanyaan dan Aduan

Komuniti Sokongan Spotify

Komuniti Sokongan Spotify adalah tempat untuk perbincangan dan pertukaran maklumat, petua dan bahan lain yang berkaitan dengan Perkhidmatan Spotify. Dengan menggunakan Komuniti Sokongan Spotify, anda bersetuju dengan Terma Komuniti.

Sokongan Pelanggan, Maklumat, Pertanyaan, Aduan

Untuk sokongan pelanggan dengan pertanyaan berkaitan akaun dan bayaran ("Pertanyaan Sokongan Pelanggan"), sila gunakan sumber Sokongan Pelanggan yang disenaraikan pada seksyen Perihal Kami dalam laman web kami.

Jika anda mempunyai apa-apa pertanyaan tentang Perkhidmatan Spotify atau Terma ini (termasuk terma dan syarat tambahan Spotify yang disertakan di sini), sila hubungi Perkhidmatan Pelanggan Spotify dengan melawati seksyen Perihal Kami dalam laman web kami.

Jika anda tinggal di negara Kesatuan Eropah, anda juga boleh mengemukakan aduan pada platform dalam talian untuk penyelesaian pertikaian alternatif (platform ODR). Anda boleh menemui platform ODR melalui pautan berikut: https://ec.europa.eu/consumers/odr.

6. Masalah dan Pertikaian

Menggantung dan menamatkan Perkhidmatan Spotify

Terma ini akan terus digunakan pada anda sehingga ditamatkan sama ada oleh anda atau Spotify. Spotify boleh menamatkan Terma ini (termasuk mana-mana terma dan syarat tambahan yang disertakan di sini) atau menggantung akses anda kepada Perkhidmatan Spotify pada bila-bila masa sekiranya kami yakin bahawa anda telah melanggar mana-mana Terma ini, jika kami berhenti menyediakan Perkhidmatan Spotify atau sebarang komponen penting selepas memberikan notis sewajarnya kepada anda atau jika kami percaya perlu dilakukan untuk mematuhi undang-undang yang berkenaan. Jika anda atau Spotify menamatkan Terma ini atau jika Spotify menggantung akses anda kepada Perkhidmatan Spotify, anda bersetuju bahawa Spotify, tertakluk pada undang-undang yang berkenaan, tidak menanggung liabiliti atau tanggungjawab terhadap anda dan (kecuali seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam Terma ini) Spotify tidak akan membayar balik sebarang jumlah yang telah anda bayar. Anda boleh menamatkan Terma ini pada bila-bila masa, hal ini bermakna anda tidak boleh terus mengakses atau menggunakan Perkhidmatan Spotify. Untuk mengetahui cara menamatkan akaun Spotify anda, sila gunakan sumber Sokongan Pelanggan pada halaman Perihal Kami.

Seksyen 4 (Kandungan dan Hak Harta intelektual), 3 (Penggunaan Perkhidmatan Spotify Anda), 2 (Perkhidmatan Spotify yang Kami Sediakan), 6 (Masalah dan Pertikaian), 7 (Perihal Terma Ini) di sini, serta sebarang seksyen lain dalam Terma ini sama ada secara jelas atau mengikut jenisnya, mestilah tetap berkuat kuasa walaupun selepas penamatan Terma ini, akan tetap digunakan.

Penafian jaminan

Spotify akan menyediakan Perkhidmatan Spotify menggunakan hemat dan kemahiran yang munasabah dan mengikut sebarang spesifikasi Perkhidmatan Spotify yang disediakan oleh Spotify, walau bagaimanapun, tertakluk pada spesifikasi tersebut, Perkhidmatan Spotify disediakan "seadanya" dan "sebagaimana yang tersedia" tanpa sebarang jaminan dalam sebarang bentuk, sama ada tersurat, tersirat atau statutori. Selain itu, Spotify dan semua pemilik kandungan menafikan sebarang jaminan tersurat, tersirat dan statutori berkenaan kandungan, termasuk jaminan kualiti yang memuaskan, kebolehdagangan, kesesuaian untuk tujuan tertentu atau ketiadaan pelanggaran. Spotify mahupun mana-mana pemilik kandungan tidak menjamin bahawa Perkhidmatan Spotify atau kandungan bebas daripada perisian berniat jahat atau komponen lain yang memudaratkan. Selain itu, Spotify tidak memberikan gambaran mahupun jaminan atau memikul apa-apa tanggungjawab terhadap mana-mana aplikasi pihak ketiga (atau kandungan di dalamnya), kandungan pengguna, peranti atau sebarang produk atau perkhidmatan yang diiklankan, dipromosikan atau ditawarkan oleh pihak ketiga pada atau melalui Perkhidmatan Spotify atau sebarang laman web yang dihiperpautkan dan Spotify tidak bertanggungjawab atas sebarang urus niaga antara anda dengan mana-mana pembekal pihak ketiga yang disebutkan di atas. Nasihat atau maklumat sama ada secara lisan atau bertulis yang anda dapati daripada Spotify tidak akan menjadi jaminan bagi pihak Spotify. Semasa menggunakan Perkhidmatan Spotify, anda mungkin mendapat akses kepada ciri penapisan kandungan eksplisit tetapi penggunaan ciri ini mungkin masih tidak menghalang sedikit kandungan eksplisit ditayangkan dan anda tidak boleh bergantung pada ciri tersebut untuk menapis semua kandungan eksplisit. Seksyen ini digunakan sepenuhnya sehingga takat yang dibenarkan oleh undang-undang yang berkenaan.

Sesetengah bidang kuasa tidak membenarkan pengecualian jaminan atau pengehadan tersirat pada hak statutori pengguna yang berkenaan, jadi pengecualian dan pengehadan dalam seksyen ini mungkin tidak digunakan pada anda dan tiada sebarang perkara yang akan menjejaskan hak statutori anda.

Pengehadan Liabiliti dan Masa untuk Membuat Tuntutan

Tertakluk pada undang-undang yang berkenaan, anda bersetuju bahawa remedi eksklusif dan satu-satunya untuk apa-apa masalah atau ketidakpuasan hati dengan Perkhidmatan Spotify adalah dengan menyahpasang sebarang perisian Spotify dan dengan berhenti menggunakan Perkhidmatan Spotify. Anda bersetuju bahawa Spotify tidak menanggung tanggungjawab atau liabiliti yang timbul akibat daripada atau berkaitan dengan aplikasi pihak ketiga atau kandungan di dalamnya yang tersedia melalui atau berhubung dengan Perkhidmatan Spotify, walaupun hubungan anda dengan aplikasi pihak ketiga tersebut mungkin ditadbir oleh perjanjian berasingan dengan pihak ketiga tersebut, remedi eksklusif dan satu-satunya, berkenaan dengan Spotify, atas sebarang masalah atau ketidakpuasan hati dengan aplikasi pihak ketiga atau kandungan di dalamnya adalah dengan menyahpasang atau berhenti menggunakan aplikasi pihak ketiga tersebut.

**Dalam sebarang keadaan sekalipun, Spotify, para pegawai, pemegang saham, pekerja, ejen, pengarah, subsidiari, sekutu, pengganti, pemegang serah hak, pembekal atau pemegang lesen tidak bertanggungjawab atas (1) sebarang ganti rugi tidak langsung, khas, sampingan, punitif atau teladan atau ganti rugi akibat; (2) sebarang kerugian penggunaan, data, perniagaan atau keuntungan (sama ada secara langsung atau tidak langsung), dalam semua keadaan yang timbul daripada penggunaan atau ketidakupayaan menggunakan Perkhidmatan Spotify, peranti, aplikasi pihak ketiga atau kandungan aplikasi pihak ketiga; atau (3) liabiliti agregat untuk semua tuntutan yang berkaitan dengan Perkhidmatan Spotify, aplikasi pihak ketiga atau kandungan aplikasi pihak ketiga lebih besar daripada (a) jumlah yang anda bayar kepada Spotify dalam tempoh dua belas bulan sebelum tuntutan pertama; atau (b) $30.00. Sebarang liabiliti yang kami tanggung atas kerugian yang anda alami, terhad kepada kerugian yang dapat diduga secara munasabah. **

Sebagai penjelasan, terma ini tidak mengehadkan liabiliti Spotify atas penipuan, salah nyata palsu, kematian atau kecederaan diri hingga takat undang-undang yang berkenaan akan melarang pengehadan tersebut dan bagi sebarang liabiliti lain yang tidak boleh dihadkan atau dikecualikan, mengikut undang-undang yang berkenaan.

**Melainkan sekatan tersebut dilarang mengikut undang-undang yang berkenaan, sebarang tuntutan yang timbul mengikut terma ini mestilah dimulakan (dengan memfailkan permintaan untuk penimbangtaraan atau memfailkan tindakan individu mengikut perjanjian penimbangtaraan di bawah) dalam tempoh satu (1) tahun selepas tarikh pihak yang menyatakan tuntutan mula-mula tahu atau secara munasabah sepatutnya tahu tentang tindakan, ketinggalan atau kemungkaran yang mengakibatkan tuntutan; dan tiada hak untuk mendapat apa-apa remedi bagi tuntutan yang tidak dinyatakan dalam tempoh masa tersebut. **

Hak Pihak Ketiga

Anda mengakui dan bersetuju bahawa para pemilik Kandungan dan pengedar tertentu (seperti pembekal gedung aplikasi) ialah penerima manfaat yang dimaksudkan bagi Terma ini dan berhak untuk menguatkuasakan Terma ini secara langsung terhadap anda. Selain perkara yang telah ditetapkan dalam seksyen ini, Terma ini tidak dimaksudkan untuk memberikan hak kepada sesiapa kecuali anda dan Spotify dan Terma ini tidak sekali-kali akan mewujudkan sebarang hak penerima manfaat pihak ketiga.

Jika anda telah memuat turun sebarang aplikasi perisian mudah alih kami ("Apl") daripada Apple, Inc. ("Apple") App Store atau jika anda menggunakan Apl ini pada peranti iOS, anda mengakui bahawa anda telah membaca, memahami dan bersetuju dengan notis berikut yang berkaitan Apple. Terma ini dilaksanakan antara anda dengan Spotify sahaja, bukan dengan Apple dan Apple tidak bertanggungjawab atas Perkhidmatan Spotify dan kandungannya. Apple tidak bertanggungjawab sama sekali untuk menjalankan sebarang penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan berhubung dengan Perkhidmatan Spotify. Sekiranya berlaku sebarang kegagalan Perkhidmatan Spotify untuk memenuhi jaminan yang berkenaan, maka anda boleh memaklumi Apple dan Apple akan memberikan bayaran balik harga pembelian Aplikasi berkenaan kepada anda; dan sehingga takat maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang yang berkenaan, Apple tidak sekali-kali menanggung tanggungjawab jaminan yang lain berhubung dengan Perkhidmatan Spotify. Apple tidak bertanggungjawab untuk menangani sebarang tuntutan anda atau tuntutan yang dibuat oleh mana-mana pihak ketiga berkaitan dengan Perkhidmatan Spotify atau pemilikan atau penggunaan anda terhadap Perkhidmatan Spotify, termasuk: (1) tuntutan liabiliti produk; (2) sebarang tuntutan yang tidak mematuhi mana-mana keperluan undang-undang atau pengawalaturan; (3) tuntutan yang timbul mengikut perlindungan pengguna atau perundangan yang serupa; dan (4) tuntutan berkenaan pelanggaran harta intelektual. Apple tidak bertanggungjawab atas penyiasatan, pembelaan, penyelesaian dan pembuangan mana-mana tuntutan pihak ketiga bahawa Perkhidmatan Spotify atau pemilikan dan penggunaan anda terhadap Aplikasi melanggar hak harta intelektual pihak ketiga tersebut. Anda bersetuju untuk mematuhi sebarang terma pihak ketiga yang berkenaan apabila menggunakan Perkhidmatan Spotify. Apple dan subsidiari Apple ialah penerima manfaat pihak ketiga mengikut Terma ini dan selepas anda menerima Terma ini, Apple akan berhak (dan akan dianggap menerima hak) untuk menguatkuasakan Terma ini terhadap anda sebagai penerima manfaat pihak ketiga mengikut Terma ini.

Pembayaran ganti rugi

Anda bersetuju untuk membayar ganti rugi dan membebaskan Spotify daripada dan terhadap sebarang kerugian, ganti rugi dan perbelanjaan munasabah langsung yang boleh diramalkan (termasuk bayaran dan kos peguam yang munasabah) yang dialami atau ditanggung oleh Spotify yang timbul daripada atau berkaitan dengan: (1) pelanggaran anda terhadap mana-mana Terma ini (termasuk terma dan syarat tambahan Spotify yang disertakan di sini); (2) mana-mana Kandungan Pengguna yang anda siarkan atau sebaliknya, sumbangkan; (3) sebarang aktiviti yang anda sertai pada atau melalui Perkhidmatan Spotify; dan (4) pelanggaran anda terhadap mana-mana undang-undang atau hak pihak ketiga.

Undang-undang Pentadbir, Penimbangtaraan Mandatori dan Tempat

6.1 Undang-undang / Bidang Kuasa Pentadbir

Kecuali jika dikehendaki sebaliknya oleh undang-undang mandatori di negara tempat tinggal anda, Perjanjian ini (dan sebarang pertikaian/tuntutan bukan kontraktual yang timbul akibat atau sehubungan dengannya) tertakluk pada undang-undang negeri atau negara yang disenaraikan di bawah, tanpa mengira pilihan atau konflik prinsip undang-undang.

Selain itu, anda dan Spotify bersetuju dengan bidang kuasa mahkamah yang tersenarai di bawah untuk menyelesaikan sebarang pertikaian, tuntutan atau kontroversi yang timbul berkaitan dengan Perjanjian (dan sebarang pertikaian/tuntutan bukan kontraktual yang timbul akibat atau sehubungan dengannya), kecuali mengikut undang-undang mandatori yang berkenaan, anda boleh memilih untuk menjalankan prosiding undang-undang di negara tempat tinggal anda atau kami diperlukan untuk menjalankan prosiding undang-undang hanya di negara tempat tinggal anda

Negara atau rantau Pilihan Undang-undang Bidang Kuasa
Semua negara dan rantau lain, tempat Spotify tersedia. Sweden Eksklusif; Mahkamah Sweden
Bulgaria, Cyprus, Estonia, Perancis, Hong Kong, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Malta, Monaco, Norway, Filipina, Portugal, Slovakia, Sepanyol, Turki Undang-undang Sweden Tidak eksklusif; Mahkamah Sweden
Brazil Undang-undang Brazil Eksklusif; Mahkamah Negeri dan Persekutuan São Paulo, Negeri São Paulo, Brazil
Kanada Tidak berkenaan dengan penduduk Quebec: Undang-undang Wilayah Ontario Penduduk Quebec: Undang-undang Wilayah Quebec, Kanada Tidak berkenaan dengan penduduk Quebec: Eksklusif selain untuk tujuan menguatkuasakan keputusan; Mahkamah Ontario, Kanada Penduduk Quebec: Mahkamah Quebec, Kanada
Argentina, Bolivia, Chile, Colombia, Costa Rica, Republik Dominican, Ecuador, El Salvador, Guatemala, Honduras, Nicaragua, Panama, Paraguay, Peru, Uruguay Negeri California, Amerika Syarikat Eksklusif; Mahkamah Negeri dan Persekutuan San Francisco County, CA atau New York, NY
United Kingdom Undang-undang England dan Wales Eksklusif

6.2 PENEPIAN TINDAKAN BERKELOMPOK

APABILA DIBENARKAN MENGIKUT UNDANG-UNDANG YANG BERKENAAN, ANDA DAN SPOTIFY BERSETUJU BAHAWA SETIAP PIHAK BOLEH MENGEMUKAKAN TUNTUTAN TERHADAP PIHAK YANG SATU LAGI HANYA DALAM KAPASITI INDIVIDU DAN BUKAN SEBAGAI PLAINTIF ATAU AHLI KUMPULAN DALAM TINDAKAN YANG BERUPA KELOMPOK ATAU PERWAKILAN. Kecuali kedua-dua anda dan Spotify bersetuju, penimbang tara atau hakim tidak boleh menggabungkan lebih daripada tuntutan satu orang atau sebaliknya mempengerusikan apa-apa jua bentuk prosiding perwakilan atau kelompok.

6.3 PENIMBANGTARAAN

Jika anda berada, berpangkalan, mempunyai pejabat atau menjalankan perniagaan di tempat yang menguatkuasakan bidang kuasa Seksyen 6.3. ini, peruntukan penimbangtaraan mandatori berikut digunakan pada anda:

6.3.1 Penyelesaian dan penimbangtaraan pertikaian

Anda dan Spotify bersetuju bahawa sebarang pertikaian, tuntutan atau kontroversi antara anda dengan Spotify yang timbul berhubungan atau berkaitan dalam apa jua cara dengan Perjanjian ini atau dengan hubungan anda dengan Spotify sebagai pengguna Perkhidmatan (sama ada berdasarkan kontrak, tort, statut, penipuan, salah nyata atau sebarang teori undang-undang yang lain dan sama ada tuntutan timbul semasa atau selepas penamatan Perjanjian) akan ditentukan oleh penimbangtaraan individu mandatori yang mengikat. Penimbangtaraan lebih tidak formal berbanding tuntutan mahkamah di mahkamah. TIADA HAKIM ATAU JURI DALAM PENIMBANGTARAAN, SERTA KAJIAN SEMULA MAHKAMAH TERHADAP PEMBERIAN PENIMBANGTARAAN ADALAH TERHAD. Mungkin terdapat penemuan yang lebih terhad daripada di mahkamah. Penimbang tara mestilah mengikut perjanjian ini dan boleh memberikan ganti rugi dan relief yang sama seperti mahkamah (termasuk bayaran peguam), kecuali penimbang tara mungkin tidak akan memberikan relief perisytiharan atau injunksi yang memberikan manfaat kepada sesiapa kecuali pihak-pihak yang terlibat dalam penimbangtaraan ini. Peruntukan penimbangtaraan ini akan terus bertahan selepas penamatan Perjanjian.

6.3.2 Pengecualian

Meskipun terdapat fasal 6.3.1 di atas, kedua-dua anda dan Spotify bersetuju bahawa tiada satu pun di sini yang akan dianggap sebagai menepikan, menghalang atau sebaliknya mengehadkan hak kita berdua, pada bila-bila masa, untuk (1) mengemukakan tindakan perseorangan dalam mahkamah tuntutan kecil (2) meneruskan permohonan tindakan penguatkuasaan melalui agensi persekutuan, negeri atau setempat di tempat tindakan tersebut tersedia, (3) cuba mendapatkan relief injunksi di mahkamah undang-undang atau (4) memfailkan tuntutan undang-undang di mahkamah undang-undang untuk menangani tuntutan pelanggaran harta intelektual.

6.3.3 Peraturan penimbangtaraan

Sama ada anda atau kami boleh memulakan prosiding penimbangtaraan. Penimbangtaraan antara anda dengan Spotify akhirnya akan diselesaikan mengikut Peraturan Penimbangtaraan International Chamber of Commerce ("ICC") yang sedang berkuat kuasa ("Peraturan ICC") oleh satu atau lebih penimbang tara yang dilantik mengikut Peraturan ICC, sebagaimana yang diubah suai oleh Perjanjian ini, serta akan ditadbir oleh International Court of Arbitration bagi ICC.

Penimbangtaraan akan dijalankan dalam bahasa Inggeris dan kecuali dikehendaki sebaliknya oleh undang-undang mandatori negara ahli Kesatuan Eropah atau bidang kuasa lain, undang-undang yang akan digunakan dalam penimbangtaraan ialah undang-undang [negeri atau negara berkaitan yang diperihalkan dalam fasal 6.1], tanpa mengira pilihan atau konflik prinsip undang-undang.

6.3.4 Masa untuk memfailkan

Penimbangtaraan mestilah dimulakan dengan memfailkan permintaan bagi penimbangtaraan dalam tempoh SATU (1) TAHUN selepas tarikh pihak yang menyatakan tuntutan mula-mula tahu atau secara munasabah sepatutnya tahu tentang tindakan, ketinggalan atau kemungkaran yang mengakibatkan tuntutan; dan tiada hak untuk mendapat remedi bagi tuntutan yang tidak dinyatakan dalam tempoh masa tersebut. Jika undang-undang yang berkenaan melarang tempoh pengehadan pengemukaan tuntutan, tuntutan mestilah dikemukakan dalam tempoh masa terpendek yang dibenarkan oleh undang-undang yang berkenaan.

6.3.5 Notis; Proses

Satu pihak yang berniat untuk mendapatkan penimbangtaraan mestilah pertama sekali menghantar notis bertulis tentang pertikaian ini kepada pihak yang satu lagi, melalui pos berdaftar atau Federal Express (tandatangan dikehendaki) atau sekiranya alamat fizikal anda tiada pada kami, melalui mel elektronik ("Notis"). Alamat Spotify untuk Notis ialah: [Spotify, Attn: General Counsel, 4 World Trade Center, 150 Greenwich Street, 62nd Floor, New York, New York 10007, USA]. Notis ini mestilah (1) menerangkan jenis dan asas tuntutan atau pertikaian; dan (2) membentangkan relief sebenar yang dikehendaki ("Permintaan"). Kami bersetuju untuk menggunakan usaha suci hati untuk menyelesaikan tuntutan secara langsung tetapi jika kami tidak mencapai persetujuan untuk berbuat demikian dalam tempoh 30 hari setelah Notis diterima, anda atau Spotify boleh memulakan prosiding timbang tara. Sepanjang penimbangtaraan, jumlah mana-mana tawaran penyelesaian yang dibuat oleh anda atau Spotify tidak akan dimaklumkan kepada penimbang tara sehingga setelah penimbang tara membuat keputusan akhir dan pemberian, jika ada. Sekiranya pertikaian kita akhirnya diselesaikan melalui penimbangtaraan yang menyebelahi pihak anda, Spotify akan membayar anda (1) jumlah yang diberikan oleh penimbang tara, jika ada, (2) jumlah penyelesaian bertulis terakhir yang ditawarkan oleh Spotify dalam penyelesaian pertikaian sebelum pemberian penimbang tara; atau (3) $1,000.00, mana-mana yang lebih besar. Semua dokumen dan maklumat yang didedahkan semasa proses penimbangtaraan akan dipastikan benar-benar sulit oleh penerima dan tidak akan digunakan oleh penerima untuk sebarang tujuan selain penimbangtaraan atau penguatkuasaan keputusan dan pemberian penimbang tara dan tidak akan didedahkan kecuali secara rahsia kepada mereka yang perlu mengetahui untuk tujuan tersebut atau sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang yang berkenaan. Kecuali diperlukan untuk menguatkuasakan keputusan dan pemberian penimbang tara, anda mahupun Spotify tidak boleh membuat pengumuman awam atau memberikan komen kepada orang awam atau menjalankan sebarang publisiti berkenaan penimbangtaraan ini, termasuk tetapi tidak terhad kepada, fakta bahawa kedua-dua pihak ini sedang menghadapi pertikaian, kewujudan penimbangtaraan atau sebarang keputusan atau pemberian penimbang tara.

6.3.6 Pengubahsuaian

Sekiranya Spotify membuat perubahan masa hadapan pada peruntukan penimbangtaraan ini (selain perubahan alamat Spotify untuk menghantar Notis), anda boleh menolak sebarang perubahan seumpamanya dengan menghantar kepada kami notis bertulis dalam tempoh 30 hari selepas perubahan ke alamat Spotify untuk menghantar Notis. Maka, akaun anda dengan Spotify akan ditamatkan dengan serta-merta dan peruntukan penimbangtaraan ini yang berkuat kuasa sebelum pindaan yang anda tolak itu, akan tetap berkuat kuasa.

6.3.7 Kebolehkuatkuasaan

Jika penepian tindakan berkelompok pada Seksyen 6.2 tidak dapat dikuatkuasakan dalam penimbangtaraan atau jika mana-mana bahagian Seksyen 6.3 ini tidak sah atau tidak dapat dikuatkuasakan, maka keseluruhan Seksyen 6.3 ini akan menjadi batal dan tidak sah. Dalam situasi ini, kesemua pihak bersetuju bahawa bidang kuasa dan tempat eksklusif yang diterangkan dalam Seksyen 6.1 akan mentadbir sebarang tindakan yang timbul daripada atau yang berkaitan dengan Perjanjian ini dan anda tidak boleh dilarang daripada menjalankan prosiding pada bila-bila masa.

7. Perihal Terma ini

Mengikut undang-undang yang berkenaan, anda mungkin mempunyai hak tertentu yang tidak boleh dihadkan melalui kontrak. Terma ini tidak bertujuan untuk mengehadkan hak tersebut.

Perubahan

Kami boleh membuat perubahan pada Terma ini (termasuk sebarang terma dan syarat tambahan Spotify yang disertakan melalui rujukan di sini) dari semasa ke semasa dengan memaklumi anda tentang perubahan tersebut dengan cara yang munasabah (sebelum berkuat kuasa), termasuk dengan menyiarkan Perjanjian semakan tentang Perkhidmatan Spotify yang berkenaan (dengan syarat, untuk perubahan penting, kami akan berusaha untuk menambah notis sedemikian melalui e-mel, mesej timbul dalam perkhidmatan atau cara lain). Sebarang perubahan tersebut tidak akan digunakan pada mana-mana pertikaian antara anda dengan kami yang timbul sebelum tarikh kami menyiarkan Terma semakan atau terma dan syarat Spotify yang lain, menggabungkan perubahan tersebut atau memaklumi anda tentang perubahan tersebut. Penggunaan anda pada Perkhidmatan Spotify selepas perubahan dibuat pada Terma ini, menandakan anda menerima perubahan tersebut. Jika anda tidak mahu meneruskan penggunaan Perkhidmatan Spotify mengikut Terma yang dikemas kini, anda boleh menamatkan akaun anda dengan menghubungi kami. Tarikh berkuat kuasa yang ditetapkan di bahagian atas dokumen ini menunjukkan kali terakhir Terma ini diubah.

Keseluruhan Perjanjian

Selain yang dinyatakan dalam seksyen ini atau sebagaimana yang telah disetujui secara bertulis dengan jelas antara anda dengan Spotify, Terma ini membentuk semua terma dan syarat yang telah disetujui antara anda dengan Spotify dan mengatasi mana-mana perjanjian lebih awal yang berkaitan dengan perkara dalam Terma ini, sama ada secara bertulis atau lisan. Seperti yang dinyatakan di atas, terma dan syarat lain yang mentadbir penggunaan Perkhidmatan Spotify disertakan di sini melalui rujukan, termasuk terma dan syarat berikut: Terma Tawaran Promosi Spotify Premium; Terma Kad Spotify; Garis Panduan Pengguna Spotify; Dasar Hak Cipta Spotify; dan Terma Komuniti Sokongan Spotify.

Kebolehasingan dan Penepian

Melainkan seperti yang dinyatakan sebaliknya dalam Terma ini, jika mana-mana peruntukan Terma ini dianggap tidak sah atau tidak dapat dikuatkuasakan atas apa-apa sebab atau takat, peruntukan Terma ini yang selebihnya tidak akan terjejas dan penggunaan peruntukan tersebut akan dikuatkuasakan sehingga takat yang dibenarkan oleh undang-undang.

Kegagalan oleh Spotify atau mana-mana penerima manfaat pihak ketiga untuk menguatkuasakan Terma atau sebarang peruntukan tidak akan menepikan hak Spotify atau penerima manfaat pihak ketiga yang berkenaan untuk berbuat demikian.

Penyerahan hak

Spotify boleh menyerah hak mana-mana atau semua Terma ini, serta boleh menyerah hak atau mewakilkan, sama ada secara keseluruhan atau sebahagian, mana-mana hak atau tanggungjawabnya mengikut Terma ini. Anda tidak boleh menyerah hak Terma ini, secara keseluruhan atau sebahagian, mahupun memindahkan atau mensublesenkan hak anda mengikut Terma ini kepada mana-mana pihak ketiga.