Dasar Harta Intelektual Spotify

1. Perihal Dasar ini

Dasar Harta Intelektual ini memerihalkan cara kami mengendalikan tuntutan pelanggaran harta intelektual pada laman web, aplikasi dan perkhidmatan Spotify ("Perkhidmatan Spotify").

Spotify menghormati hak harta intelektual dan menghendaki penggunanya melakukan perkara yang sama. Semasa menggunakan Perkhidmatan Spotify, anda perlu mematuhi Garis Panduan Pengguna Spotify serta semua undang-undang, peraturan dan kawal selia yang berkenaan dan menghormati harta intelektual, privasi dan hak pihak ketiga yang lain.

2. Hak Cipta

Perihal hak cipta

Hak cipta ialah hak undang-undang yang bertujuan melindungi karya pengarang asal (contohnya, muzik, karya seni, buku). Pemilik hak cipta mempunyai hak eksklusif untuk memanfaatkan karya kreatif termasuklah menyalin, mengedarkan dan memaparkan karya tersebut. Secara umumnya, hak cipta melindungi ekspresi asal; hak cipta tidak melindungi fakta dan idea. Hak cipta juga secara umumnya tidak melindungi perkara seperti nama, tajuk dan slogan; walau bagaimanapun, hak undang-undang lain yang dipanggil tanda dagangan boleh dikenakan (lihat di bawah).

Terdapat beberapa pengecualian terhadap hak cipta. Contohnya, di negara tertentu, pemegang bukan hak mungkin dibenarkan untuk menggunakan hak cipta milik pihak lain jika penggunaan tersebut adalah saksama, contohnya untuk tujuan ulasan, kritikan atau parodi.

Cara melaporkan pelanggaran hak cipta

Jika anda ialah pemegang hak cipta atau ejen mereka, dan anda berpendapat bahawa mana-mana bahan yang tersedia melalui Perkhidmatan Spotify melanggar karya berhak cipta anda, sila gunakan borang web ini untuk menyerahkan notis pelanggaran hak cipta yang didakwa telah berlaku. Selain itu, notis pelanggaran hak cipta yang didakwa telah berlaku mungkin dihantar kepada ejen hak cipta yang ditetapkan oleh Spotify di alamat berikut, dengan maklumat berikut:

  1. Pengenalpastian khusus bagi setiap karya berhak cipta yang didakwa telah dilanggar;
  1. Perihalan tentang lokasi bahan dipercayai telah melanggar hak cipta di Perkhidmatan Spotify atau Laman Web Spotify (sila perincikan sejelas yang boleh dan berikan URL untuk membantu kami menemukan bahan yang anda laporkan);
  1. Maklumat hubungan pihak pengadu seperti nama lengkap, alamat, nombor telefon, dan alamat e-mel;
  1. Pernyataan bahawa pihak pengadu berpendapat secara suci hati bahawa penggunaan karya dalam cara yang diadukan adalah tidak dibenarkan oleh pemilik hak cipta, ejennya atau di sisi undang-undang (seperti penggunaan saksama); dan
  1. Pernyataan bahawa maklumat dalam pemberitahuan adalah tepat dan tertakluk pada penalti sumpah bohong, pihak pengadu ialah pemilik hak yang didakwa telah dilanggar atau ejen bagi pemilik.
  1. Tandatangan fizikal atau elektronik pemilik (atau orang yang dibenarkan untuk bertindak bagi pihak pemilik) bagi hak cipta yang didakwa telah dilanggar; dan
  1. Pernyataan bahawa anda faham bahawa maklumat hubungan dan/atau notis anda akan diberikan kepada pihak yang didakwa telah melakukan pelanggaran dan akan dikekalkan selagi yang diperlukan untuk tujuan undang-undang.

Tanpa maklumat di atas, kami mungkin tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk memproses tuntutan anda.

Ejen hak cipta Spotify yang ditetapkan boleh dihubungi di alamat berikut:

Spotify USA Inc.

Attn: Legal Department, Copyright Agent

4 World Trade Center, 150 Greenwich Street, 62nd Floor, NewYork, NY 10007

infringement-claim@spotify.com

Apabila anda menyerahkan tuntutan hak cipta, Spotify boleh menyerahkan nama dan alamat e-mel anda kepada pihak yang didakwa telah melakukan pelanggaran dan mengekalkan maklumat anda selagi diperlukan untuk tujuan undang-undang. Harap maklum, laporan penipuan atau penyalahgunaan lain proses ini boleh menyebabkan penamatan akaun anda dan/atau akibat undang-undang. Anda boleh meminta nasihat guaman sebelum menyerahkan tuntutan.

Spotify juga mempunyai dasar untuk menamatkan, mengikut keadaan yang wajar, akaun pengguna yang melakukan pelanggaran secara berulang.

3. Tanda dagangan

Perihal tanda dagangan

Tanda dagangan ialah perkataan, slogan, simbol atau reka bentuk (cth., nama jenama, logo) yang membezakan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh seseorang, kumpulan atau syarikat antara satu sama lain. Secara umumnya, undang-undang tanda dagangan bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna tentang pihak yang menyediakan atau mempunyai perkaitan dengan produk atau perkhidmatan.

Cara melaporkan pelanggaran tanda dagangan

Jika anda ialah pemegang tanda dagangan atau ejen mereka, dan anda berpendapat bahawa mana-mana kandungan yang tersedia melalui Perkhidmatan Spotify melanggar hak tanda dagangan anda, sila gunakan borang web ini untuk menyerahkan notis pelanggaran tanda dagangan yang didakwa telah berlaku. Spotify boleh menyerahkan nama dan alamat e-mel anda kepada pihak yang didakwa telah melakukan pelanggaran dan mengekalkan maklumat anda selagi diperlukan untuk tujuan undang-undang. Spotify juga mempunyai dasar untuk menamatkan, mengikut keadaan yang wajar, akaun pengguna yang melakukan pelanggaran secara berulang.

4. Cara Kami Mengendalikan Tuntutan

Spotify menyemak tuntutan yang diterima melalui saluran yang dikenal pasti di atas. Apabila kami menerima tuntutan, kami akan menilai dan mengambil tindakan yang sewajarnya, yang boleh termasuk mengalih keluar kandungan yang dilaporkan atau menyahdayakan akses di negara tertentu. Kami boleh berkomunikasi dengan pihak penuntut dan pengguna atau pencipta yang menyediakan kandungan tentang tindakan yang kami ambil, jika kami memilih untuk tidak mengambil tindakan atau jika kami memerlukan maklumat lanjut untuk menilai tuntutan.

Sebarang kandungan yang melanggar hak cipta atau tanda dagangan pihak lain boleh dialih keluar. Spotify juga mempunyai dasar pelanggaran secara berulang, bermakna akaun pengguna atau pencipta yang bertanggungjawab terhadap berbilang pelanggaran mungkin akan ditamatkan. Jika kandungan dipulihkan semula susulan rayuan atau kerana pemegang hak menarik semula tuntutan, dasar pelanggaran secara berulang kami akan menggambarkan perkara tersebut dengan sewajarnya.

Jika anda berpendapat tindakan yang diambil terhadap kandungan atau akaun anda adalah suatu kesilapan dan jika anda ingin meminta semakan semula terhadap keputusan Spotify tentang tuntutan anda, anda mungkin berpeluang untuk menyerahkan rayuan. Arahan tentang cara membuat rayuan terkandung dalam surat-menyurat e-mel yang kami akan hantar kepada anda tentang tuntutan tersebut.

Selain laporan pengguna dan pemegang hak, kami memanfaatkan gabungan isyarat automatik dan manual untuk mengesan dan mengalih keluar kandungan yang mungkin melanggar harta intelektual pihak lain. Kami sentiasa berusaha secara berterusan untuk melindungi harta intelektual pencipta.